Dr Ali ketengah isu dirasai, dekat dengan rakyat

Ahmad Dullah
- Advertisement -

KALABAKAN: PAS Kawasan Kalabakan mengambil perhatian serius terhadap isu-isu pembangunan yang dibangkitkan dalam ucapan perbahasan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan pada persidangan DUN Sabah, kelmarin.

- Advertisement -

Menurut Yang Dipertua PAS kawasan, Ahmad Dullah, hakikatnya banyak perkara yang diketengahkan bukan sahaja relevan di Karambunai, malah amat dekat dan dirasai oleh rakyat di Parlimen Kalabakan.

Katanya, kemudahan asas iaitu air dan elektrik yang menjadi hak rakyat masih terdapat kawasan luar bandar yang berdepan masalah itu yang tidak stabil di Kalabakan.

“Keadaan ini menjejaskan kehidupan harian rakyat serta membantutkan potensi pembangunan setempat,” ujarnya menerusi satu catatan di laman sosial PAS Kawasan Kalabakan.

Justeru, ujarnya PAS kawasan menegaskan bahawa bekalan utiliti asas adalah hak rakyat, bukan keistimewaan.

Begitu juga, katanya isu jalan rosak dan tidak diselenggara juga menjadi keluhan utama rakyat Kalabakan.

Menurutnya, jalan yang uzur bukan sahaja menyukarkan pergerakan, bahkan mengancam keselamatan pengguna.

“Kami menggesa agar penyelenggaraan berkala dilaksanakan secara menyeluruh, termasuk di kawasan pedalaman yang sering terpinggir,” katanya.

Katanya lagi, masalah rumah tidak mampu milik turut membelenggu rakyat Kalabakan, khususnya golongan B40.

Tambahnya, harga rumah yang tinggi dan kekurangan perumahan mampu milik menyebabkan ramai masih belum memiliki tempat tinggal yang selesa.

Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan agar perlu campur tangan secara lebih tegas dalam mengawal harga dan menyediakan lebih banyak skim perumahan rakyat.

Ahmad juga mengaitkan pembangunan kawasan luar bandar dan pulau seperti Pulau Sepanggar yang dibangkitkan oleh Dr Aliakbar dalam ucapan tersebut.

Katanya, kawasan terpencil di Kalabakan juga menghadapi cabaran serupa iaitu pembangunan tidak seimbang, kemudahan asas terhad, dan akses yang sukar.

“Pembangunan mesti inklusif, bukan tertumpu di kawasan bandar sahaja,” tambahnya.

Di samping, ujarnya masalah lampu jalan tidak berfungsi juga berlaku di beberapa kawasan di Kalabakan, meningkatkan risiko jenayah dan kemalangan.

Ini, kata beliau bukan isu kecil, tetapi berkait rapat dengan keselamatan rakyat.

Selain itu, ujarnya keperluan jejantas di kawasan berisiko tinggi juga wajar diberi perhatian terutama keselamatan pengguna jalan raya, khususnya pelajar dan warga emas yang tidak boleh dipandang ringan.

Menurutnya, apa yang paling penting ialah memastikan pembangunan berlaku secara adil.

Tambah beliau, jurang antara bandar dan luar bandar, antara kawasan maju dan terpinggir mesti dirapatkan.

“Rakyat Kalabakan berhak menikmati kemudahan dan peluang yang sama,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan bahawa pembangunan sebenar bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi mesti dirasai oleh rakyat di peringkat akar umbi.

Katanya, kerajaan perlu bersikap adil, amanah dan bertanggungjawab dalam merancang serta melaksanakan dasar.

“Akhirnya, kami menyeru agar semua pihak, kerajaan, agensi pelaksana dan masyarakat, berganding bahu memastikan setiap rakyat, termasuk di Kalabakan, tidak tercicir daripada arus pembangunan.

“Bukan sekadar membina, tetapi memastikan setiap yang dibina memberi makna kepada kehidupan rakyat,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, ‘Sabah Maju, Rakyat Sejahtera’ bukan slogan semata-mata, tetapi satu amanah yang mesti ditunaikan. – HARAKAHDAILY 29/4/2026

- Advertisement -