
KUALA TERENGGANU: Projek Terminal Regasifikasi Gas Asli Cecair (RGT) di Kemaman kini berjalan mengikut perancangan ditetapkan dan hanya menunggu kelulusan ‘Letter to Proceed’(LTP) daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) sebelum pembinaan dimulakan.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, syarikat terbabit sudah mengemukakan cadangan lengkap kepada ST pada Disember tahun lalu seperti yang ditetapkan.
Katanya, pihak ST dijangka mengambil masa antara lima hingga enam bulan untuk meneliti permohonan sebelum mengeluarkan LTP bagi membolehkan projek itu memasuki fasa pembinaan.
“Setakat ini susun atur projek masih mengikut jadual. Kita hanya menunggu keputusan daripada ST untuk ‘Letter to Proceed’ sebelum bergerak ke arah pembinaan.
“Jika kelulusan itu diperoleh sekitar Mei atau Jun ini, majlis pecah tanah dijangka dapat dilaksanakan pada November depan,” katanya ketika ditemui selepas satu program di sini.
Mengulas kemungkinan kesan krisis geopolitik semasa terhadap projek itu, Mohd Nurkhuzaini berkata bekalan LNG bagi projek berkenaan tidak terjejas kerana sumber utama diperoleh dari Mexico, bukan dari rantau Timur Tengah.
Menurutnya, pembekal utama LNG bagi projek itu ialah Amigo LNG dan laluan bekalan semasa tidak melalui kawasan konflik.
“Dari segi bekalan tidak ada masalah ketika ini kerana sumber kita bukan dari Timur Tengah.
“Cuma kemungkinan yang terkesan ialah peningkatan kos bahan api serta kenaikan kos pembangunan dan bahan binaan apabila projek memasuki fasa pembinaan nanti,” katanya.
Beliau berkata, dari sudut permintaan pula, projek berkenaan tidak berdepan sebarang kebimbangan kerana keperluan tenaga negara terus meningkat dan dinilai terlebih dahulu oleh ST sebelum kelulusan diberikan.
Menurut beliau, walaupun projek itu dijangka menyumbang 3.6 juta tan metrik setahun (MTPA), jumlah berkenaan masih belum mencukupi bagi menampung permintaan tenaga negara pada masa depan.
“Menjelang 2030, negara diunjurkan memerlukan sekitar 12 MTPA bagi sektor tenaga dan dengan kemasukan bekalan daripada projek ini pun masih terdapat kekurangan beberapa MTPA lagi.
“Jadi dari segi permintaan, setakat ini tidak timbul sebarang masalah,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/4/2026




















