
CINCINNATI: Seorang guru di Ohio dipecat serta-merta selepas satu video media sosial miliknya yang mengulas insiden tembakan melibatkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump tular dan mencetuskan kontroversi.
Corrine Baum, yang ketika itu bertugas mengajar kanak-kanak di Pusat Penjagaan Kanak-kanak BrightPath Bridgetown, diberhentikan selepas pihak pengurusan menemui catatan video berdurasi 20 saat yang dimuat naik olehnya.
Dalam video tersebut, Baum dilihat meluahkan rasa kecewa kerana Trump tidak mengalami kecederaan atau terbunuh dalam insiden tembakan yang berlaku semasa Majlis Makan Malam Wartawan Rumah Putih di Washington pada malam Sabtu lepas.
“…Saya bangun dengan berita itu, tetapi bukan berita ITU (mengenai Trump),” katanya dalam video berkenaan, sambil mengeluh.
Menurut Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dalam laporan media sebelum ini, seorang lelaki merupakan tutur graduan Kejuruteraan Mekanikal dikenali sebagai Cole Tomas Allen, 31, dari California, cuba menceroboh pusat pemeriksaan keselamatan dengan membawa senjata termasuk senapang patah, pistol dan pisau sebelum berbalas tembakan dengan pihak berkuasa.
Ketika kejadian, Trump hadir ke majlis tersebut bersama isterinya, Melania; Naib Presiden JD Vance serta beberapa anggota Kabinet.
Dalam kenyataan rasminya, BrightPath pula menegaskan bahawa organisasi itu tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang kenyataan yang menyokong keganasan.
“Komen yang dibuat dalam talian oleh individu ini sangat tidak konsisten dengan nilai-nilai kami.
“Individu tersebut telah diberhentikan,” menurut kenyataan itu, lapor Business Times.
BrightPath merupakan penyedia pendidikan awal kanak-kanak yang mengendalikan 12 pusat prasekolah dan jagaan harian di rantau Tri-State.
Sehingga kini, peranan khusus Baum di pusat tersebut masih tidak dapat dipastikan.
Usaha mendapatkan reaksi Baum juga gagal apabila seorang wanita yang menjawab panggilan telefon dipercayai rakannya memaklumkan bahawa Baum tidak mahu memberi sebarang komen.
“Dia sedang melalui masa yang sukar sekarang dan sangat sedih,” katanya.
Tinjauan media di kediaman Baum di Bridgetown juga tidak mendapat sebarang respons apabila pintu rumahnya tidak dibuka. – HARAKAHDAILY 28/4/2026











