
BRUSSEL, Belgium: Malaysia menegaskan pendirian konsisten dalam memperjuangkan pembebasan Palestin menerusi penyertaan dalam Global Sumud Parliamentary Congress yang berlangsung di Brussels, Belgium pada 22 April lalu.
Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, beliau menghadiri sepenuhnya kongres berkenaan bersama ahli Parlimen dari seluruh dunia serta rakan daripada Kaukus Palestin dan Parlimen Malaysia bagi menyatakan pendirian tegas negara.
Menurutnya, persidangan itu turut memeterai Deklarasi Brussels yang antara lain menggesa dihentikan pengeboman serta pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.
“Deklarasi ini (juga) kita menyatakan bahawa seluruh pihak negara-negara di dunia ini perlu dengan bersungguh-sungguh menekan pihak rejim Zionis Israel dan negara-negara sekitarnya.
“(Ia) untuk membuka ruang humanitarian koridor untuk memastikan bahawa bantuan kemanusiaan perlu segera disampaikan kepada rakyat Palestin yang sedang menderita sama ada melalui pintu darat ataupun pintu itu lautan.
“Selain itu, kongres ini menetapkan bahawa seluruh pihak perlu melaksanakan ‘legal action’ bagi memastikan bahawa pembunuh-pembunuh kemanusiaan genoside termasuklah oleh (Perdana Menteri Israel) Benjamin Netanyahu itu diadili dengan seadilnya bahawa mereka ini adalah pembunuh kepada manusia kanak-kanak di Palestin itu,” ulasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kongres berkenaan bergerak seiring dengan lebih 1,000 aktivis yang sedang berlayar di Laut Mediterranean melalui misi Global Sumud Flotilla menuju ke Gaza.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Krai, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, penyertaan Ahli Parlimen Malaysia daripada kerajaan dan pembangkang dalam kongres itu bertujuan mendesak pembebasan Palestin diberi perhatian dunia.
Menurutnya, deklarasi yang dicapai akan dihantar kepada pihak berkaitan termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Parlimen Eropah serta kerajaan masing-masing bagi tindakan susulan.
“Persidangan ini penting untuk memberi tekanan kepada Zionis Israel dan membuka mata dunia supaya menyokong perjuangan Palestin sehingga pembebasan dicapai.
“Terutamanya dalam dalam masa terdekat ini dapat membuka pintu sempadan Rafah untuk dihantar bantuan segera kepada umat Islam dan juga penduduk di Gaza dan juga menghentikan peperangan segera yang telah pun masuk tahun ketiga pembunuhan di Gaza itu sendiri,” tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, kedua-dua Ahli Parlimen itu turut melawat dan menyantuni peserta Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla 2.0, selain menguatkan semangat kebersamaan dalam kalangan peserta.
Ahmad Tarmizi juga berkesempatan menyampaikan khutbah Jumaat bersama peserta, sebagai tanda sokongan berterusan terhadap usaha kemanusiaan untuk Gaza.
Pada masa sama, mereka merakamkan penghargaan kepada Duta Besar Malaysia ke Belgium, Dato’ Mohd Khalid Abbasi Abdul Razak yang turut berperanan sebagai Duta Besar Malaysia ke Luxembourg dan Kesatuan Eropah, berpangkalan di Brussels.
Ahmad Tarmizi berkata, duta berkenaan bersama keluarga serta pegawai pejabat Kedutaan Malaysia menyantuni delegasi Malaysia dan menjemput mereka ke majlis makan malam di pejabat kedutaan.
Pada masa sama, kongres berkenaan yang menghimpunkan kira-kira 300 Ahli Parlimen, pengamal undang-undang, wakil media dan aktivis antarabangsa mencapai tiga ketetapan utama menerusi Deklarasi Brussels.
Ketetapan itu merangkumi usaha melindungi pelayaran ke Gaza bagi membuka koridor kemanusiaan baharu, memastikan akses penuh bantuan melalui sempadan Rafah serta menggesa Israel tidak melaksanakan hukuman gantung sampai mati terhadap tahanan Palestin.
Dalam perkembangan sama, Malaysia dijangka merangka Sumud Protocols yang akan digunakan oleh semua delegasi di bawah Global Sumud Flotilla sebagai kesinambungan selepas Deklarasi Brussels. – HARAKAHDAILY 28/4/2026











