
SHAH ALAM: Ekonomi Malaysia ketika ini bukan sekadar berdepan cabaran biasa, sebaliknya berada dalam keadaan tekanan berantai yang merunsingkan pelbagai pihak susulan perkembangan ekonomi global dan isu domestik berkaitan subsidi serta kos sara hidup.
Penolong Setiausaha Dewan Pemuda PAS Selangor, Muhammad Ikhwan Nasyriq Salahin berkata, krisis ekonomi global yang berpunca daripada ketegangan di Timur Tengah telah menyumbang kepada kenaikan harga minyak dunia, sekali gus memberi kesan ke atas rakyat.
Beliau berkata, keadaan itu diburukkan lagi dengan dasar harga minyak dalam negara yang tidak menetapkan harga siling, yang menurutnya telah mewujudkan kesan domino terhadap pelbagai sektor ekonomi.
“Dalam teori makroekonomi, setiap pemain ekonomi mempunyai objektif tersendiri.
“Isi rumah berusaha memaksimumkan kepuasan melalui pendapatan lebih tinggi dan kuasa beli yang besar, namun krisis semasa telah menghimpit rakyat dengan kenaikan kos sara hidup ketika pendapatan masih tidak berubah,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa sektor perniagaan berdepan tekanan kos apabila kenaikan harga minyak meningkatkan kos pengeluaran dan perkhidmatan, yang akhirnya memaksa peniaga sama ada menaikkan harga atau menanggung kerugian.
“Situasi tersebut juga berpotensi membawa kepada pengurangan tenaga kerja oleh firma dalam usaha mengawal kos operasi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Muhammad Ikhwan turut menegaskan bahawa kerajaan memainkan peranan penting dalam menguruskan ekonomi melalui perbelanjaan mengurus dan pembangunan, termasuk penyediaan infrastruktur dan kemudahan awam.
Mengulas isu subsidi, beliau menyifatkan ia sebagai instrumen penting dalam merancakkan ekonomi dan membantu rakyat, namun pada masa sama mengakui ia memberi tekanan besar kepada kedudukan fiskal negara.
“Kerajaan dilaporkan membelanjakan sekitar RM200 juta sehari bagi subsidi minyak. Walaupun ia membantu rakyat, persoalannya sehingga bila kemampuan ini boleh ditanggung,” katanya.
Beliau turut merujuk kedudukan hutang statutori negara yang kini berada pada paras 64.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), hanya 0.8 peratus di bawah had siling undang-undang 65 peratus.
Menurutnya, situasi itu meletakkan kerajaan dalam dilema sama ada untuk meneruskan subsidi yang boleh meningkatkan beban hutang, atau mengurangkannya berisiko memberi tekanan kepada ekonomi domestik serta rakyat.
“Jika subsidi diteruskan, kita menghampiri had undang-undang hutang. Namun jika dipotong secara drastik tanpa pelan perlindungan yang kukuh, ia akan menekan ekonomi dan rakyat,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan kerajaan bertindak secara proaktif dan berhemah dalam menangani isu berkenaan dengan mengambil kira prinsip ekonomi kebajikan (welfare economics).
“Kerajaan perlu memastikan tiada pihak yang tertindas atau menindas ketika krisis ekonomi ini berlaku. Negara perlu diurus dengan denyut nadi rakyat,” katanya.
Tambah beliau, meskipun kerajaan berdepan tekanan kewangan, rakyat ketika ini menanggung beban yang lebih besar dan keadaan itu perlu diberi perhatian segera oleh pihak berwajib.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ekonomi global berdepan ketidaktentuan akibat konflik geopolitik, gangguan rantaian bekalan, serta turun naik harga komoditi utama dunia termasuk minyak mentah.
Ketegangan di Timur Tengah, khususnya melibatkan hubungan Amerika Syarikat dan Iran, turut memberi kesan kepada pasaran tenaga global apabila ia mencetuskan kebimbangan terhadap bekalan minyak dunia.
Dalam masa yang sama, negara-negara pengimport minyak termasuk Malaysia turut terkesan apabila harga bahan api menjadi lebih sensitif terhadap perkembangan geopolitik.
Di peringkat domestik, Malaysia masih berdepan tekanan kos sara hidup dipengaruhi oleh pelarasan subsidi, perubahan harga barang asas, serta pemulihan ekonomi pasca pandemik yang tidak sekata antara sektor.
Isu fiskal negara juga sering menjadi tumpuan apabila perbelanjaan kerajaan bagi subsidi dan bantuan kewangan meningkat bagi menampung beban rakyat. – HARAKAHDAILY 28/4/2026











