Ketidaktentuan global wajar jadi pemangkin usahawan

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ketidaktentuan global yang sedang melanda ekonomi dunia perlu dijadikan pemangkin untuk memperkukuh daya saing perniagaan tempatan serta melahirkan lebih ramai usahawan berdaya tahan dan berwawasan global.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, perubahan geopolitik dunia ketika ini bukan sahaja membawa cabaran kepada sektor perniagaan, malah membuka ruang baharu yang perlu dimanfaatkan oleh usahawan tempatan.

- Advertisement -

Menurutnya, konflik antara kuasa besar, ketegangan perdagangan, sekatan ekonomi dan perubahan dasar antarabangsa memberi kesan langsung kepada landskap perniagaan di seluruh dunia termasuk di negeri ini.

“Marilah kita sama-sama menjadikan ketidaktentuan global ini sebagai pemangkin untuk memperkukuh daya saing perniagaan tempatan dan melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya tahan serta berwawasan global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program perbincangan meja bulat bersama pemain industri anjuran Dewan Perniagaan Melayu Terengganu di sini, hari ini.

Menurutnya, antara perubahan utama yang perlu diberi perhatian ialah penyusunan semula rantaian bekalan global yang mana banyak syarikat antarabangsa kini mencari destinasi yang lebih stabil dan strategik untuk operasi mereka.

Katanya, keadaan itu memberi peluang kepada Malaysia termasuk Terengganu untuk menarik pelaburan dalam sektor pembuatan, logistik dan perkhidmatan.

Mohd Nurkhuzain menyatakan, pendigitalan juga menjadi faktor penting dalam memastikan perniagaan tempatan terus kekal berdaya saing dalam suasana ekonomi tidak menentu.

“Usahawan yang memanfaatkan teknologi digital, kecerdasan buatan dan e-dagang akan lebih berdaya saing dan berdaya tahan dalam menghadapi kejutan luar,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera berkata, kebergantungan kepada satu pasaran kini menjadi risiko besar, justeru usahawan tempatan perlu berani meneroka pasaran baharu termasuk di rantau ASEAN, Asia Barat dan Afrika.

Tambahnya, kerajaan bersama semua pemegang taruh perlu memastikan dasar lebih responsif, ekosistem kondusif serta sokongan pembiayaan mencukupi bagi membantu usahawan menyesuaikan diri dengan perubahan global.

“Dunia yang tidak menentu memerlukan minda terbuka, strategi yang fleksibel dan keberanian untuk berubah supaya usahawan tempatan terus kekal relevan dalam ekonomi semasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/4/2026

- Advertisement -