Hotel Pulau Poh kembali beroperasi suku ketiga 2026

Burhanuddin Hilmi Mohamed
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Hotel Pulau Poh di Tasik Kenyir dijangka kembali beroperasi sepenuhnya menjelang suku ketiga tahun ini selepas melalui proses penambahbaikan serta penyusunan semula pengurusan oleh Terengganu Inc (TI).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TI, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, ketika ini pihaknya sedang melengkapkan persiapan akhir merangkumi kerja baik pulih kemudahan, pengambilan tenaga kerja serta penyelarasan operasi hotel berkenaan.

- Advertisement -

Menurut beliau, projek pembinaan bernilai RM97.4 juta itu telah diserahkan kepada TI pada Disember 2024 dan masih berada dalam tempoh Defects Liability Period (DLP).

“Susulan penarikan diri operator hotel disaat akhir pada pertengahan Februari 2026 yang lalu, TI selaku entiti yang telah diberikan mandat bagi pengurusan hotel tersebut telah mengambil pendekatan strategik dengan menggabungkan pengalaman dan kepakaran pengurusan Primula Beach Hotel serta Permai Hotel Kuala Terengganu bagi membantu proses perancangan operasi dan persediaan pembukaan hotel berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas Projek Solar Terapung (Kenyir HHFS 595 MWac) Terbesar Asia Tenggara bernilai RM1.96 Bilion, di Wisma TI, di sini, hari ini.

Menurutnya, sebanyak RM3 juta hingga RM4 juta diperuntukkan sebagai modal awal bagi memastikan pengoperasian semula hotel itu dapat dilaksanakan mengikut perancangan.

“Walaupun berdepan beberapa cabaran dari segi kos dan operasi, kita komited memastikan hotel ini kembali berfungsi sebagai antara produk pelancongan utama di Tasik Kenyir,” katanya.

Katanya, hotel bertaraf tiga bintang itu menawarkan 150 bilik penginapan lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk dewan konvensyen berkapasiti sehingga 1,000 tetamu, enam bilik mesyuarat, restoran, kafeteria terbuka serta kemudahan parkir yang luas.

“Hotel berkenaan bukan sahaja menawarkan kemudahan penginapan, malah akan dijadikan pusat penganjuran mesyuarat, seminar, majlis perkahwinan dan acara korporat,” ujar beliau.

Tambah Burhanuddin , pembukaan semula Hotel Pulau Poh tidak akan menjejaskan pengusaha penginapan sedia ada kerana ia menyasarkan segmen pasaran berbeza.

“Produk ini bukan bersaing dengan houseboat di Tasik Kenyir, sebaliknya melengkapkan tarikan pelancongan sedia ada,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/4/2026

- Advertisement -