Rantaian bekalan baja rapuh, keterjaminan makanan terjejas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan digesa memberi penekanan serius terhadap risiko gangguan rantaian, khususnya melibatkan bekalan baja yang disifatkan sebagai input kritikal dalam sektor pertanian negara.

Senator Dr Wan Martina Wan Yusof berkata, isu bekalan baja bukan sekadar bersifat teknikal dalam sektor pertanian, sebaliknya turut menyentuh aspek keselamatan negara kerana mempunyai kaitan langsung dengan keterjaminan makanan rakyat.

- Advertisement -

Menurut Ahli Dewan Negara itu, sebarang kenaikan kos input pertanian yang tidak terkawal akan memberi kesan rantaian kepada harga makanan sekali gus meningkatkan kos sara hidup rakyat.

“Perkara itu selari dengan penegasan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Forum Ilmuwan Malaysia Madani baru-baru ini yang menekankan keperluan Malaysia memperkukuh daya tahan ekonomi dalam menghadapi cabaran krisis global,” katanya.

Menurut beliau, ketidaktentuan ekonomi global serta gangguan rantaian bekalan antarabangsa ketika ini menuntut pendekatan lebih strategik dalam memperkukuh sektor pertanian negara.

Sehubungan itu, Dr Wan Martina mengemukakan beberapa cadangan bagi memperkukuh daya tahan ekonomi domestik dan memastikan sektor pertanian negara lebih mampan serta berdaya saing.

Antara cadangan utama dikemukan oleh beliau ialah pemerkasaan penghasilan baja organik tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada baja kimia import yang terdedah kepada turun naik harga global serta risiko geopolitik.

“Kerajaan melalui agensi berkaitan perlu memperhebat insentif bagi penghasilan baja organik daripada sisa pertanian dan sisa pepejal domestik. Ini bukan sahaja menjimatkan kos, malah membantu memulihkan kualiti tanah untuk jangka panjang,” ujarnya.

Selain itu, beliau mencadangkan penggunaan teknologi pertanian tepat atau ‘precision farming’ bagi meningkatkan kecekapan penggunaan baja dalam sektor pertanian.

“Melalui penggunaan data dan sistem pengairan pintar, petani dapat mengoptimumkan penggunaan baja mengikut keperluan sebenar tanaman, sekali gus mengurangkan pembaziran dan mengurangkan risiko gangguan bekalan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan penubuhan stok simpanan strategik baja (Strategic Buffer Stock) sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi gangguan mendadak rantaian bekalan antarabangsa.

Katanya, langkah itu boleh diumpamakan seperti jaminan stok strategik petroleum bagi memastikan sektor pertanian tidak terjejas sekiranya berlaku krisis bekalan global.

Beliau juga menekankan kepentingan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan alternatif baja yang lebih murah dan berkesan menggunakan sumber tempatan.

Kerjasama antara universiti, agensi kerajaan dan industri juga katanya, perlu diperkukuh bagi membangunkan inovasi baja ‘buatan Malaysia’ yang lebih kompetitif.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak berkepentingan mengambil bahagian dalam ekosistem pertanian supaya memperkukuh kesiapsiagaan dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kaedah konvensional.

“Ketidaktentuan geopolitik dunia menuntut kita menjadi lebih berdikari dalam sektor kritikal ini. Daya tahan negara bermula daripada kestabilan sumber makanan kita,” katanya.

Ketika ini, industri pertanian global berdepan tekanan berikutan gangguan rantaian bekalan baja, kenaikan harga bahan mentah serta ketidaktentuan geopolitik yang menjejaskan eksport dari negara pengeluar utama.

Kebergantungan tinggi kepada baja import turut menjadikan sektor pertanian Malaysia terdedah kepada turun naik harga global, sekali gus memberi kesan langsung kepada kos pengeluaran makanan domestik.

Situasi ini turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan petani yang berdepan peningkatan kos operasi, selain risiko pengurangan hasil tanaman sekiranya bekalan baja tidak stabil dalam jangka panjang. – HARAKAHDAILY 27/4/2026

- Advertisement -