Mekanisme bantuan perlu lebih adil dan menyeluruh

Menangani isu kos sara hidup rakyat

- Advertisement -

SHAH ALAM: Mekanisme bantuan kerajaan dalam menangani kos sara hidup perlu distruktur semula agar lebih adil dan benar-benar sampai kepada rakyat, ujar Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri.

Menurut beliau, pendekatan seperti jualan murah secara berkala dilihat tidak menyelesaikan masalah secara tuntas, malah menyukarkan sebahagian rakyat khususnya yang berdepan kekangan logistik.

- Advertisement -

Jelasnya, terdapat golongan yang tidak mampu hadir ke lokasi jualan murah kerana kekangan masa, kesihatan serta pengangkutan, sekali gus menyebabkan mereka terpaksa menanggung kos tambahan.

“Kalau bantuan hanya dibuat sebulan sekali dan rakyat tak dapat hadir, mereka tetap terbeban. Ada yang terpaksa guna perkhidmatan e-hailing, akhirnya kos jadi lebih mahal,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras turut mempersoalkan rasional pendekatan tersebut sekiranya ia tidak dapat dinikmati secara sama rata oleh semua lapisan masyarakat.

“Kenapa perlu kita buat sistem yang akhirnya menyusahkan sebahagian rakyat? Sepatutnya dari awal kita uruskan supaya semua dapat manfaat yang sama tanpa perlu melalui kesukaran,” ujarnya.

Bekas Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) itu berkata demikian ketika ditemu bual dalam satu program bersama Jabatan Profesional Dewan Pemuda PAS Malaysia, baru-baru ini.

Tambah beliau, kaedah bersifat sementara seperti jualan murah mungkin boleh dilaksanakan dalam keadaan tertentu, namun kerajaan perlu memikirkan penyelesaian jangka panjang yang lebih mampan.

Menurutnya, isu sebenar bukan sekadar menyediakan bantuan, tetapi bagaimana memastikan akses kepada bantuan itu adil, mudah dan tidak membebankan rakyat.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa golongan pertengahan turut terkesan dengan keadaan ekonomi semasa, apabila pendapatan dilihat mencukupi pada zahirnya, namun tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian.

“Ada golongan yang kita tak boleh kategorikan sebagai B40 atau M40 sepenuhnya. Gaji nampak macam cukup, tapi hakikatnya tidak mencukupi untuk kehidupan seharian,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa kerajaan perlu melihat semula keseluruhan pendekatan pengurusan kos sara hidup secara lebih menyeluruh, termasuk dari sudut dasar dan pelaksanaan.

Beliau turut menekankan bahawa usaha menangani isu ini tidak boleh dipikul oleh kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk pembangkang.

“Saya setuju bahawa mekanisme bantuan perlu lebih ‘direct’ dan sampai terus kepada penerima secara adil. Dalam masa sama, kerjasama antara kerajaan dan pembangkang sangat penting untuk menyelesaikan isu rakyat,” katanya.

Tambahnya lagi, pendekatan yang lebih tersusun dan inklusif akan membantu memastikan keseimbangan ekonomi dapat dicapai, sekali gus mengelakkan beban berterusan kepada rakyat.

“Kalau kita benar-benar mahu melihat kemajuan ekonomi yang seimbang, maka pendekatan separuh jalan tidak mencukupi. Kita perlu fikirkan kaedah terbaik untuk jangka masa panjang,” jelas beliau.

Beliau berharap agar perancangan lebih holistik dapat dilaksanakan demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara dalam berdepan cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat. – HARAKAHDAILY 27/4/2026

- Advertisement -