
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan (DOF) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah dan sedang mengambil beberapa tindakan proaktif bagi menangani kerugian serta kesan jangka panjang terhadap pengusaha ikan sangkar di Kampung Pantai Ali.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, antara tindakan yang dilaksanakan ialah pemberian khidmat nasihat dari segi pengurusan ternakan dan kaedah susun atur sangkar yang bersesuaian.
Menurutnya, bantuan tali sauh turut diberikan kepada pengusaha bagi memudahkan mereka mengalih dan menggerakkan sangkar ke kawasan sungai yang mempunyai paras air lebih dalam.
“Isu air sungai yang terlalu cetek telah di bawa ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah Hulu Terengganu pada 26 Februari tahun ini.
“Susulan daripada itu, tindakan bersama antara DOF dan JPS telah diambil untuk menyusun penyelarasan khusus bersama agensi berkaitan dalam waktu terdekat bagi merangka solusi tuntas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Mamad Puteh (PAS-Kuala Berang) berhubung tindakan kerajaan negeri mengatasi masalah pengusaha sangkar di Sungai Terengganu yang mengalami kerugian akibat kedalaman sungai semakin cetek.
Terdahulu, Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, seramai 13 pengusaha ikan sangkar di Kampung Pantai Ali, Hulu Terengganu mengalami kerugian dianggarkan RM57,500 susulan kematian kira-kira 4,500 kilogram ikan akibat paras air Sungai Terengganu yang semakin cetek.
“Anggaran sebanyak 70 unit sangkar dengan keluasan kira-kira 2,520 meter persegi telah terkesan. Keadaan ini mengakibatkan kematian anggaran 4,500 kilogram ikan yang terdiri daripada 4 metrik tan Ikan Tilapia dan 0.5 metrik tan Ikan Patin,” katanya.
Menurutnya, bagi meringankan beban pengusaha, Jabatan Perikanan Malaysia turut meluluskan permohonan pengusaha Sangkar Kampung Pantai Ali di bawah Program Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan (Akuakultur) bagi tahun 2026 sebanyak RM39,600. – HARAKAHDAILY 21/4/2026




















