Pertimbang beri bantuan kepada bapa tunggal

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan memaklumkan setakat ini tiada skim khusus diwujudkan untuk bapa tunggal sebagaimana Skim Bantuan Armalah bagi ibu tunggal, namun permohonan daripada golongan tersebut tetap dipertimbangkan berdasarkan syarat dan kelayakan yang ditetapkan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, Dato’ Rohani Ibrahim, berkata, pertimbangan itu dibuat sebagai sokongan sosial kepada bapa tunggal yang terpaksa menguruskan anak-anak secara bersendirian selepas kehilangan isteri.

“Walau bagaimanapun, kerajaan negeri mempertimbangkan permohonan daripada bapa tunggal yang memenuhi kriteria yang ditetapkan sebagaimana kes ibu tunggal (armalah).

“Pertimbangan ini sebagai sokongan sosial kepada bapa tunggal yang layak dan terpaksa menguruskan anak-anak secara bersendirian sebelum dapat menyesuaikan diri dengan keadaan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tendong, Rozi Muhamad pada Persidangan Kali Yang Pertama (Istiadat Pembukaan Penggal) bagi tempoh Penggal Keempat, Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2026.

Menurutnya, kerajaan amat memahami situasi kehilangan pasangan serta keperluan sokongan segera, khususnya bantuan kewangan bagi menguruskan anak-anak dan keluarga.

Menjawab soalan tambahan, beliau berkata sehingga kini kerajaan telah menerima 12 borang permohonan daripada bapa tunggal yang baharu kematian isteri sejak bantuan itu mula dipertimbangkan pada tahun 2025.

“Permohonan tersebut akan dipertimbangkan berdasarkan syarat dan kelayakan yang telah ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, bagi memastikan golongan bapa tunggal yang layak tidak tercicir terutama di kawasan luar bandar, kerajaan negeri menggerakkan pasukan Penyelaras Pembangunan Armalah DUN (PPAD) serta Skuad Kita Cakna (SKC) di setiap kawasan DUN.

Katanya, pasukan itu sentiasa turun ke kampung-kampung melalui aktiviti ziarah kebajikan bersama pimpinan setempat bagi mengenal pasti kes yang memerlukan bantuan.

Tambah beliau, SKC turut dibantu oleh Penghulu Mukim, imam dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang berperanan sebagai penyampai maklumat kepada Pusat Khidmat DUN.

“Apa yang menjadi harapan kita, komuniti setempat juga dapat sama-sama membantu menyalurkan maklumat berkaitan kepada pihak Pusat Khidmat DUN masing-masing jika ada kes yang perlu dibantu.

“Masyarakat yang cakna kepada jiran akan dapat melahirkan komuniti yang sejahtera dan berkebajikan,” ujarnya.

Menurut beliau, antara syarat asas pertimbangan bantuan ialah pemohon mestilah warganegara Malaysia yang bermastautin di Kelantan, kematian isteri dalam tempoh setahun, mempunyai anak di bawah tanggungan serta berada dalam kategori B40.

“Kadar bantuan yang dicadangkan adalah secara one-off, bermula minimum RM500 sehingga maksimum RM1,500, bergantung kepada jumlah tanggungan anak-anak,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/4/2026

- Advertisement -