‘Teguran Sultan Selangor: Kerajaan negeri patut malu’

Mohamed Sukri Omar
- Advertisement -

SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS)  mempersoalkan status pentadbiran kerajaan negeri meskipun Selangor merekodkan rizab simpanan sebanyak RM4.736 bilion pada akhir tahun 2025. 

- Advertisement -

Ketuanya, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, masih terdapat pelbagai kelemahan ketara dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang perlu diberi perhatian serius. 

“Kekhuatiran ini semakin menebal dengan kenaikan harga minyak diesel secara melampau, secara tidak langsung memberi impak kepada kehidupan rakyat melalui kesan rantaian yang bakal berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mewakili DPPNS menjunjung kasih atas titah ucapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-15 pada Isnin. 

Dalam titahnya itu, Sultan Selangor menegur kerajaan negeri berhubung kegagalan menangani masalah banjir yang masih berulang.

Baginda bertitah, isu itu telah banyak kali dibangkitkan namun masih belum diselesaikan secara berkesan

Menurut Baginda, tindakan jangka pendek dan panjang perlu dilaksanakan segera demi menjamin kesejahteraan rakyat.

“Beta pernah menasihatkan agar pihak kerajaan negeri merujuk kepada pakar-pakar dari negara luar terutamanya Netherland bagi mendapatkan idea terbaik di dalam mengatasi masalah banjir di Selangor.

“Namun malangnya, nasihat Beta tidak dipeduli dan tidak diambil berat, diibaratkan seperti mencurah air ke daun keladi sahaja,” titah Baginda.

Mengulas mengenai perkara itu Sukri menyatakan, titah ucapan Tuanku Sultan Selangor bukan sekadar mengungkap angka-angka yang indah-indah sahaja, tetapi turut terselit nasihat dan teguran agar kerajaan ini dapat dikelola dengan lebih baik.

“Tuanku Sultan Selangor bukan sekadar menegur, tetapi turut memberikan saranan dan idea untuk kebaikan seluruh rakyat jelata. Inilah hikmah mempunyai seorang Raja yang bijaksana. 

“Namun, sekiranya Kerajaan Negeri Selangor hanya ibarat daun keladi yang tidak mempedulikan nasihat seorang Raja, maka yang ruginya adalah rakyat. Adakah rakyat mahu mempertahankan kerajaan ego seperti ini lagi?” soalnya.

Sehubungan itu, Sukri menegaskan Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari patut berasa malu dengan teguran langsung Tuanku Sultan terutama berkenaan isu banjir. 

“Saban tabun, jutaan ringgit dibelanjakan tetapi kegagalan demi kegagalan terus berlaku. Pendekatan holisitik perlu dipraktikkan seperti perancangan pembangunan yang lebih mesra alam, bukan sekadar menyalahkan alam apabila banjir berlaku,” tegasnya.

Justeru, Sukri menyatakan DPPNS menyeru seluruh rakyat Selangor untuk mengambil pedoman daripada titah Tuanku Sultan agar agar membudayakan amalan jimat-cermat terutama bagi menghadapi cabaran mendatang yang tidak menentu. 

“Pada masa yang sama, amalan ketirisan dan pembaziran sebagaimana pernah ditegur di dalam Laporan Ketua Audit Negara tidak boleh berulang lagi,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan bahawa beberapa jalan raya di sekitar Seksyen 13 di sini dinaiki air dalam kejadian banjir kilat susulan hujan lebat pada Isnin.

Air dilaporkan naik secara mendadak dalam tempoh singkat selepas hujan berterusan dianggarkan lebih sejam, antara laluan terjejas termasuk jalan raya berhampiran kawasan komersial serta laluan utama menuju ke pusat bandar Shah Alam. – HARAKAHDAILY 21/4/2026

- Advertisement -