
KOTA BHARU: Pendekatan pengurusan krisis ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini dilihat lebih pragmatik dan memberi kelegaan segera kepada rakyat berbanding pendekatan semasa kerajaan Madani yang lebih menumpukan kepada disiplin fiskal.
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, tuduhan yang melabel pendekatan PAS sebagai simplistik dalam menangani krisis ekonomi adalah tidak berasas dan lebih bersifat retorik politik.
“Jika diteliti pengalaman sebenar, khususnya ketika pandemik COVID-19, pendekatan kerajaan PN menunjukkan kecekapan dalam mengurus tekanan ekonomi dengan pantas dan tersusun,” katanya.
Menurut beliau, ketika krisis kesihatan global itu, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menjejaskan hampir keseluruhan aktiviti ekonomi negara, sekali gus memerlukan intervensi segera kerajaan.
“Ketika itu, kerajaan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi seperti PRIHATIN dan PENJANA, selain Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang memberi suntikan tunai langsung kepada rakyat,” jelasnya.
Tambah beliau, pelaksanaan moratorium automatik oleh institusi perbankan juga menjadi langkah penting dalam mengurangkan tekanan kewangan rakyat tanpa perlu melalui proses permohonan yang rumit.
“Ini memberi ruang kepada rakyat untuk bernafas dalam keadaan ekonomi yang sangat terhimpit,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata pendekatan Kerajaan Madani hari ini lebih menumpukan kepada rasionalisasi subsidi dan pengukuhan fiskal negara, namun memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat.
“Pengurangan subsidi seperti diesel dan peningkatan kos utiliti memberi kesan berantai kepada harga barang dan perkhidmatan,” ujarnya.
Beliau turut mendakwa pendekatan bantuan bersasar yang dilaksanakan ketika ini mempunyai kelemahan dari segi pelaksanaan sehingga menyebabkan sebahagian rakyat tercicir.
“Walaupun ada niat untuk memperkemas agihan bantuan, namun pelaksanaannya masih menimbulkan pelbagai isu di peringkat rakyat,” tambahnya.
Menurutnya lagi, dalam situasi krisis ekonomi, keutamaan perlu diberikan kepada mekanisme yang mampu menjadi ‘shock absorber’ kepada rakyat, seperti bantuan tunai dan kelegaan kewangan segera.
“Pendekatan terdahulu lebih menekankan kelangsungan hidup rakyat dalam tempoh kritikal, dan ini perlu dijadikan pengajaran dalam menggubal dasar semasa,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pengalaman kepimpinan PAS, termasuk era Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai Menteri Besar Terengganu, membuktikan kemampuan parti itu mengurus sumber secara berhemah dalam keadaan kekangan kewangan.
“Fokus kepada kebajikan rakyat, pengurusan sumber yang cekap dan kestabilan pentadbiran adalah asas yang tidak boleh diketepikan,” katanya.
Menurut beliau, perbandingan antara kedua-dua pendekatan itu wajar dibuat secara objektif berdasarkan impak kepada rakyat, bukan semata-mata naratif politik.
“Dalam krisis, yang paling penting ialah keberkesanan dasar dalam membantu rakyat, bukan sekadar teori ekonomi,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/4/ 2026




















