Kutipan hasil tanah Kelantan cecah RM380 juta

Tadbir urus dan digitalisasi jadi pemangkin

Mohd Nassuruddin Daud
- Advertisement -

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, berkata Kerajaan Negeri telah berjaya mencatat kutipan hasil tanah berjumlah RM380 juta bagi tahun 2025.

- Advertisement -

“Ini adalah satu pencapaian yang memberangsangkan hasil usaha bersepadu Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri bersama Pejabat Tanah dan Jajahan di seluruh negeri. 

“Kejayaan ini juga didorong oleh beberapa faktor utama termasuk pengukuhan tadbir urus, peningkatan kecekapan pentadbiran serta pemerkasaan sistem pembayaran digital,” katanya.

Beliau menjawab soalan yang dikemukakan, Zuraidin Abdullah (PAS-Chetok), pada pada Persidangan Kali Yang Pertama (Istiadat Pembukaan Penggal) bagi tempoh Penggal Keempat, Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2026.

Dalam soalan asal, Zuraidin  meminta Menteri Besar menyatakan apakah faktor kejayaan dan bagaimana Kerajaan Negeri memastikan prestasi ini konsisten di semua jajahan pada tahun 2026?

Menurut Nassuruddin lagi, kerajaan negeri bersyukur atas kejayaan mencatat kutipan hasil tanah berjumlah RM380 juta bagi tahun 2025 yang merupakan satu pencapaian memberangsangkan.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha bersepadu Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan bersama Pejabat Tanah dan Jajahan di seluruh negeri,” ujarnya.

Tambah beliau, antara faktor utama kejayaan ialah pengukuhan tadbir urus dan pemantauan kutipan hasil dengan menetapkan sasaran yang jelas kepada setiap Pejabat Tanah dan Jajahan.

“Pemantau prestasi  juga dilaksanakan secara berkala bagi memastikan setiap jajahan mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Selain itu, proses permohonan berkaitan tanah seperti pemberimilikan, tukar syarat dan pecah sempadan diproses secara lebih sistematik, sekali gus meningkatkan kecekapan pentadbiran pejabat tanah,” jelasnya.

Katanya, penyediaan kemudahan pembayaran hasil tanah secara atas talian serta pendigitalan sistem pentadbiran turut mempercepatkan urusan perkhidmatan dan meningkatkan ketelusan.

“Pemerkasaan sistem pembayaran dan perkhidmatan digital telah mempercepatkan proses perkhidmatan di samping meningkatkan ketelusan serta keberkesanan pengurusan kutipan hasil,” ujarnya.

Beliau juga menyatakan, bagi memastikan prestasi tersebut kekal konsisten di semua jajahan pada tahun 2026, kerajaan negeri akan meneruskan beberapa langkah strategik.

“Antaranya ialah menetapkan KPI kutipan hasil yang jelas kepada setiap Pejabat Tanah dan Jajahan selaras dengan potensi kawasan masing-masing.

“Selain itu, kerajaan turut merancang untuk mengoptimumkan penggunaan tanah kerajaan melalui pembangunan strategik, pajakan serta kerjasama pembangunan yang berpotensi menjana premium dan hasil berkaitan tanah,” katanya lagi.

Beliau berkata, kesedaran dalam kalangan pemilik tanah akan terus dipertingkatkan melalui pelbagai saluran komunikasi supaya pembayaran cukai tanah dapat dibuat tepat pada masanya.

“Kerajaan juga akan memperkukuh kapasiti sumber manusia melalui latihan berterusan bagi meningkatkan profesionalisme dan kecekapan pegawai serta kakitangan dalam pengurusan hasil tanah.

“Pada masa sama, penguatkuasaan di bawah Kanun Tanah Negara akan dipertingkatkan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta mengelakkan sebarang ketirisan hasil negeri,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/4/2026

- Advertisement -