Terengganu miliki sungai antara paling bersih

Razali Idris
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Sungai-sungai utama di Terengganu termasuk Sungai Besut, Sungai Setiu dan Sungai Terengganu kini berada pada tahap kebersihan terbaik, malah antara yang paling bersih berbanding kebanyakan negeri lain di negara ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, majoriti sungai di negeri itu merekodkan Indeks Kualiti Air (IKA) Kelas I yang dikategorikan sebagai bersih.

Beliau berkata, keadaan itu membolehkan air sungai berkenaan bukan sahaja sesuai untuk aktiviti rekreasi, malah boleh dijadikan sumber air mentah bagi bekalan air minuman selepas melalui rawatan konvensional.

“Secara keseluruhannya, tahap kebersihan sungai utama kita berada dalam keadaan baik dan terkawal. 

“Berdasarkan pemantauan Jabatan Alam Sekitar (JAS), status IKA bagi sungai berkaitan berada dalam Kelas I, manakala hanya tiga stesen pemantauan di Sungai Terengganu dan Sungai Besut berada dalam Kelas II,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Yusop Majid (BERSATU-Permaisuri) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Mengulas lanjut, Razali berkata kerajaan negeri komited melaksanakan pelbagai langkah pelestarian termasuk memperkenalkan Dasar Pelepasan Sifar bagi mengawal beban pencemar di punca.

Katanya, pada 2025 sebanyak 125 projek berkaitan risiko banjir dilaksanakan dengan peruntukan RM6.095 juta, selain tiga projek Denai Sungai Kebangsaan bernilai RM0.6 juta.

“Bagi tahun 2026, sebanyak 58 projek risiko banjir dilaksanakan dengan peruntukan RM4.7 juta serta 4 projek Denai Sungai Kebangsaan berjumlah RM0.7 juta,” ujarnya.

Beliau berkata, pewartaan rizab sungai turut diberi perhatian bagi melindungi tebing daripada pencerobohan dan pembangunan tidak terkawal demi memastikan kelestarian sumber air.

Menurutnya,  pendekatan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) dari hulu ke hilir juga dilaksanakan bagi menjamin kecukupan sumber air dan mengekalkan keseimbangan ekosistem secara holistik.

“Selain itu, pematuhan Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak (ESCP) diperketatkan bagi mengawal hakisan tanah dan pemendapan sedimen yang boleh menjejaskan kapasiti aliran sungai,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/4/2026

- Advertisement -