Garis Panduan Syariah Terengganu di peringkat akhir kelulusan

Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Garis Panduan Syariah Negeri Terengganu yang telah dikemas kini kini berada di peringkat akhir sebelum dibawa untuk pertimbangan dan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, dokumen berkenaan akan diterbitkan dan dilancarkan sebaik sahaja mendapat kelulusan MMKN sebelum dikuatkuasakan di seluruh negeri.

“Secara keseluruhannya, garis panduan itu merangkumi tiga komponen utama iaitu mengenai teras dalam sesuatu acara dan hiburan; mengikut jenis-jenis acara dan hiburan, serta berkenaan dengan beberapa aktiviti lain seperti penerbitan, promosi, pelancongan dan perayaan orang bukan Islam,” katanya. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Zuraida Mohd Noor (PAS-Ladang) mengenai perkembangan semakan semula garis panduan tersebut, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri turut memberi penekanan terhadap pelaksanaan garis panduan itu melalui perakuan Jabatan Mufti Negeri Terengganu serta semakan aspek perundangan termasuk kemungkinan pindaan atau penggubalan sebarang enakmen, kaedah, peraturan dan prosedur berkaitan oleh pihak-pihak berkenaan agar selari dengan garis panduan tersebut.

“Langkah ini penting bagi memastikan garis panduan bukan sahaja bersifat dasar, tetapi dapat dikuatkuasakan secara berkesan, menyeluruh dan berimpak tinggi,” katanya.

Tambahnya, semakan semula telah disiapkan di peringkat penyediaan dan permuktamadan dokumen dengan mengambil kira perkembangan semasa dalam aktiviti sosial, hiburan, pelancongan dan perniagaan, selain memastikan keselarasan dengan prinsip akidah, syariah dan akhlak Islam.

Katanya lagi, proses itu turut melibatkan siri libat urus bersama pelbagai pihak termasuk wakil jabatan, agensi kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik serta pakar bidang berkaitan.

Menjawab soalan tambahan berhubung pelaksanaan di peringkat akar umbi seperti JPKK dan pusat khidmat masyarakat, beliau berkata, perkara itu akan diberi perhatian sebagai cadangan untuk tindakan lanjut kerajaan negeri.

“Insya-Allah, kita akan mengambil perhatian tentang apa disebut tadi dan saya kira itu sebagai satu cadangan untuk kita ambil tindakan selanjutnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/4/2026

- Advertisement -