
KUALA TERENGGANU: Sebanyak 1,036 Lesen Sampan Khas Nelayan berjaya diluluskan dan diagihkan kepada nelayan di Terengganu hasil gerak kerja bersepadu kerajaan negeri bersama agensi berkaitan sejak 2021.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, kelulusan itu diperoleh melalui penyusunan gerak kerja Jawatankuasa Task Force Isu Lesen Sampan Khas Nelayan dengan kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK).
“Daripada jumlah itu, sebanyak 498 lesen diagihkan pada 2021, diikuti 102 lesen pada 2022 dan baki 436 lesen diserahkan pada tahun ini.
“Mengikut data terkini daripada PNK, LKIM dan DOF, sepatutnya tiada lagi isu nelayan sampan di Terengganu turun ke laut tanpa lesen, sekali gus menunjukkan isu Lesen Sampan Khas Nelayan negeri ini telah selesai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Sulaiman Sulong (PAS-Pengkalan Berangan) mengenai jumlah lesen sampan khas nelayan yang diluluskan dalam tempoh lima tahun pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15, di sini, hari ini.
Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, dengan status sebagai nelayan berlesen, mereka layak menikmati pelbagai kemudahan termasuk Elaun Sara Hidup Nelayan, bekalan minyak bersubsidi serta bantuan lain seperti perumahan dan bencana.
Bagaimanapun, katanya, terdapat beberapa faktor menyebabkan sebahagian permohonan lesen ditolak, antaranya pemohon bukan nelayan sepenuh masa, pesara kerajaan yang menerima pencen, pernah memiliki lesen yang dibatalkan atau hanya menjalankan aktiviti perikanan secara sambilan.
Menurut beliau, nelayan yang baru memperoleh lesen juga tidak terus layak menerima minyak subsidi dan elaun sara hidup secara automatik.
“Selepas mendapat lesen, nelayan perlu turun ke laut dan melaporkan hasil tangkapan dalam tempoh 120 hari. Selepas itu mereka layak memohon minyak bersubsidi dan Elaun Sara Hidup Nelayan,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/4/2026




















