Kenaikan harga ubat kini realiti

Ujian sebenar sistem kesihatan awam, Malaysia perlu bertindak sekarang

- Advertisement -

SHAH ALAM: Kenaikan harga ubat antara 30 hingga 40 peratus dan peralatan perubatan yang melonjak sehingga 100 peratus kini bukan lagi ramalan. 

- Advertisement -

Ketua Portfolio Kesihatan Perikatan Nasional, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata demikian sambil menegaskan bahawa ia  kini  adalah realiti yang sedang dihadapi Malaysia akibat konflik perang di Asia Barat yang memuncak sejak 28 Februari 2026. 

Menurutnya, gangguan terhadap laluan Selat Hormuz, lonjakan kos logistik dan ketidaktentuan rantaian bekalan farmaseutikal global telah mendedahkan satu kebenaran yang tidak selesa bahawa alaysia tidak bersedia.

Beliau menegaskan bahawa tiada pelan kecemasan yang kukuh pernah diaktifkan secara komprehensif untuk menghadapi senario seperti ini, dan stok ubat semasa hanya dianggarkan mencukupi sehingga Jun 2026.

“Menjadi kewajipan kerajaan untuk bertindak balas dengan polisi yang terukur, tersusun dan berani,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Ahmad Yunus menjelaskan, Malaysia adalah pengimport bersih farmaseutikal, dengan nilai import mencapai RM11.3 bilion pada 2023. 

“Lebih 30 peratus pembekal datang dari India, sebuah negara yang bergantung kepada kawasan Teluk Parsi untuk lebih 60 peratus import minyaknya. 

“Pergantungan berlapis ini menjadikan sebarang kejutan geopolitik di Timur Tengah sebagai ancaman langsung kepada sistem kesihatan negara,” ujarnya yang juga Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat.

Beliau menegaskan bahawa tiada pelan kecemasan yang kukuh pernah diaktifkan secara komprehensif untuk menghadapi senario seperti ini, dan stok ubat semasa hanya dianggarkan mencukupi sehingga Jun 2026.

“Menjadi kewajipan kerajaan untuk bertindak balas dengan polisi yang terukur, tersusun dan berani,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, dalam menghadapi senario berkenaan, beliau menyarankan kerajaan perlu memfokus kepada empat perkara pokok.

“Pertama, diversifikasi perolehan, yang mana dalam keadaan darurat, kepelbagaian adalah pertahanan terbaik. 

“KKM telah menunjukkan inisiatif awal menerusi penerokaan sumber alternatif dari China dan India serta laluan pantas NPRA untuk pendaftaran produk generik. 

Namun diversifikasi yang bermakna memerlukan pemetaan risiko yang lebih mendalam kerana gangguan tenaga akibat konflik ini bersifat global,” jelasnya yang merangkap Ahli Parlimen Kuala Langat.

Tambah beliau, hal tersebut adalah  kerana China mendapatkan lebih 50 peratus minyaknya dari Timur Tengah, Jepun mencatatkan pengurangan pengeluaran di 6 daripada 12 kilang etilena dan Korea Selatan pula mengenakan sekatan kecemasan ke atas eksport naphtha. 

“Lebih banyak negara-negara pembekal perlu dikenal pasti untuk mempelbagaikan sumber ubatan kita,” tegasnya.

Langkah kedua, tambah beliau ialah kapasiti perkhidmatan kesihatan awam.

“Sebelum krisis ini pun, sistem kesihatan awam Malaysia sudah berada di tahap yang mencemaskan. 

Setakat Mac 2025, 91 klinik kesihatan kerajaan beroperasi melebihi kapasiti yang direka, dengan sesetengahnya mengendalikan lebih 800 pesakit sehari. 

Kini dengan harga ubat swasta yang melonjak, golongan B40 dan M40 akan beralih secara besar-besaran ke fasiliti awam lantas menambah beban kepada sistem yang sedia maklum sudah sesak,” dedahnya.

Beliau juga menegaskan bahawa pembinaan klinik baharu tidak akan menyelesaikan masalah dalam tempoh krisis ini. 

“Apa yang lebih mendesak ialah mengoptimumkan infrastruktur sedia ada melalui dua pendekatan, iaitu perluasan Program Penyumberluaran Perkhidmatan Hospital (HSOP) supaya pesakit awam dapat dirawat di hospital swasta dengan pembiayaan kerajaan, serta pengembangan teleperubatan yang terbukti berkesan namun potensi ini masih jauh daripada dimaksimumkan,” katanya.

Sementara menurutnya lagi, langkah ketiga ialah pengeluaran ubat generik tempatan; yuang mana di bawah NIMP 2030, terdapat hasrat jelas untuk meningkatkan bahagian produk perubatan buatan tempatan, dan hasilnya sudah terbukti di mana penggunaan ubat generik telah menjana penjimatan RM900 juta dalam tempoh dua tahun.

“Langkah ini tidak akan mengurangkan tekanan harga dalam 12 bulan akan datang. Tetapi ia mesti dibangunkan dengan lebih serius lagi supaya Malaysia tidak berhadapan dengan krisis yang sama tahun-tahun mendatang. 

“Insentif fiskal untuk pelaburan semula, pembangunan kilang API domestik dan dasar ‘generik dahulu’ dalam semua perolehan awam adalah tiga tiang yang perlu didirikan serentak,” jelas Dr Ahmad Yunus.

Langkah keempat, katanya, ialah pantau dan kuatkuasakan harga ubat yang menurut beliau, kajian di China mendapati bahawa harga siling boleh menyebabkan pembekal menggunakan siling sebagai titik rujukan harga. 

“Jika siling ditetapkan terlalu rendah ketika kos import melonjak, pembekal mungkin menarik diri dari pasaran, lantas memburukkan lagi isu bekalan,” ujarnya.

Pendekatan yang lebih bijaksana,  tambah beliau, ialah menggunakan pemantauan harga sebagai alat ketelusan, bukan kawalan harga tanpa mengambil kira realiti kos input semasa. 

“Satu isu mendesak yang perlu diselesaikan segera ialah pertikaian bidang kuasa antara KKM dan KPDN mengenai siapa yang berhak menguatkuasakan perintah ini. 

“Ketidakjelasan pentadbiran ini tidak boleh dibiarkan berlarutan ketika penguatkuasaan diperlukan paling kritikal,” tegasnya lagi.

Menurut beliau, kerajaan tidak boleh berlengah lagi untuk melindungi kesihatan rakyat. Bagitu juga rakyat turut berperanan dalam situasi genting ini. 

“Terus amalkan gaya hidup aktif dan sihat agar kita tidak menambah beban kepada sistem kesihatan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/4/206

- Advertisement -