YPU bantu usahawan muda jana RM600,000

Ariffin Deraman
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Sokongan berterusan kerajaan negeri menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) berjaya membantu seorang usahawan muda, Nur Sarah Adlina Muhammad, 31, dalam mengembangkan perniagaan daripada berjualan kuih secara kecil-kecilan sehingga berjaya membina empayar perniagaan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, Nur Sarah adalah antara peserta Program Usahawan Belia Sejahtera (UBES) yang membuktikan inisiatif kerajaan negeri mampu melahirkan usahawan belia berdaya saing.

Katanya, graduan Ijazah Sajana Muda Reka Bentuk itu memulakan perniagaan ketika pandemik Covid-19 dengan menjual kuih kepada rakan-rakan melalui aplikasi WhatsApp dan dari rumah ke rumah sebelum berjaya memperluaskan perniagaan.

“Sekarang Nur Sarah telah berjaya mengembangkan perniagaan dengan membuka tiga lagi cawangan kafe Pestalmonomy, jumlah pekerja seramai 35 orang serta menjana pendapatan sekitar RM500,000 hingga RM600,000 sebulan,” katanya pada sesi jawab lisan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Shah Mohamed (PAS-Bandar) yang meminta menjelaskan kejayaan yang telah dicapai melalui program UBES bagi membantu usahawan dalam kalangan graduan di negeri ini.

Ariffin berkata, UBES yang diperkenalkan sejak 2019 menjadi platform utama kerajaan negeri untuk membantu belia berusia 18 hingga 40 tahun menceburi bidang keusahawanan tanpa mengira latar belakang pendidikan.

Menurutnya, sehingga kini empat siri program itu dilaksanakan membabitkan 155 peserta dengan 97 peratus daripadanya masih aktif menjalankan perniagaan.

“Sebanyak 97 peratus peserta UBES masih menjalankan perniagaan dan purata peningkatan jualan melebihi 15 peratus dan berjaya menyediakan peluang pekerjaan kepada seramai 449 orang,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/4/2026

- Advertisement -