‘Kerajaan Dalam Kerajaan’ jejas kerjasama Negeri-Persekutuan

Abdul Rahman Yunus
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kewujudan elemen ‘kerajaan dalam kerajaan’ yang didakwa berlaku menerusi beberapa agensi Persekutuan di Kelantan disifatkan menjejaskan semangat kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat.

- Advertisement -

Dato’ Abdul Rahman Yunus (PAS-Pasir Tumboh) berkata, keadaan tersebut bercanggah dengan semangat federalisme yang dijunjung oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.

Katanya, peranan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) di negeri ini boleh dianggap seumpama kerajaan dalam kerajaan.

“Kerajaan negeri bersikap matang dan terbuka dalam usaha menjunjung semangat federalisme bagi memastikan manfaatnya sampai kepada rakyat.

“Tahniah kepada Menteri Besar kerana mengekalkan semangat federalisme, begitu juga Perdana Menteri yang bersemangat mempertahankan konsep tersebut,” katanya ketika membahas ucapan menjunjung kasih titah Pemangku Raja Kelantan pada sidang Dewan Negeri Kelantan, hari ini.

Beliau berkata, walaupun pimpinan tertinggi negara dan negeri menunjukkan komitmen tinggi terhadap konsep federalisme, masih terdapat agensi kerajaan Pusat yang tidak menterjemahkan semangat tersebut dalam pelaksanaan projek dan pentadbiran di Kelantan.

Dalam perbahasan sama, Wan Rohimi Wan Daud (PAS-Melor) bangun mencelah dan mendakwa pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan tidak lagi diberi tanggungjawab melaksanakan projek di bawah peruntukan kerajaan Pusat.

Menurutnya, sejak dua tahun lalu projek di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak lagi disalurkan terus kepada PBT.

Sebaliknya, projek berkenaan dikendalikan oleh ICU termasuk proses pelantikan kontraktor, berbeza dengan amalan sebelum ini.

Abdul Rahman berkata, situasi berkenaan memberi gambaran bahawa semangat kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan masih belum diterjemahkan sepenuhnya.

“Semangat federalisme perlu dipertahankan. Sedangkan pimpinan besar dilihat bersungguh-sungguh mahu terjemahkan semangat federalisme.

“Begitu juga wakil rakyat sepatutnya dibenarkan masuk ke sekolah di bawah Jabatan Pendidikan bagi menunaikan semangat federalisme, namun ia tidak berlaku begitu,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/4/2026

- Advertisement -