KFLI lahir pemimpin masa depan berteras Islam

Zamakhshari Muhamad
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan komitmen berterusan dalam pembangunan modal insan khususnya dalam kalangan belia menerusi pelaksanaan Kelantan Future Leaders Institute (KFLI) yang bertujuan melahirkan pemimpin muda berilmu, berakhlak dan berwawasan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, matlamat utama KFLI adalah untuk membentuk pemimpin belia yang bukan sahaja kompeten dari sudut ilmu pengetahuan, malah unggul dari aspek akhlak serta komited memartabatkan Islam dalam setiap aspek kehidupan.

“Kerajaan Negeri Kelantan amat komited dalam pembangunan modal insan khususnya dalam kalangan belia.

“Matlamat utama KFLI adalah untuk melahirkan pemimpin belia yang bukan sahaja kompeten dari segi ilmu pengetahuan, tetapi juga unggul dari sudut akhlak, mempunyai visi jelas, dan komited dalam memartabatkan Islam dalam setiap aspek kehidupan termasuk keluarga, masyarakat dan negara,” katanya ketika menjawab soalan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Pasir, Nasriff Daud, pada Persidangan Kali Yang Pertama (Istiadat Pembukaan Penggal) bagi tempoh Penggal Keempat, Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2026.

Menurutnya, perancangan strategik KFLI berasaskan prinsip Al Qawiy Al Amin iaitu kuat dan Amanah.

Katanya, bagi mencapai hasrat tersebut, penekanan diberikan kepada tiga teras utama iaitu pembangunan ilmu dan kepakaran, pembangunan akhlak dan nilai Islam, serta pengukuhan visi pemimpin masa depan.

Bagi aspek pembangunan ilmu dan kepakaran, beliau berkata program seperti Kelantan Future Leaders Camp, Bootcamp, Academy dan ADN Belia telah dilaksanakan mengikut peringkat umur belia dengan modul kepimpinan, pengurusan projek dan pembangunan diri yang tersusun.

“Setiap program direka untuk melahirkan pemimpin yang berdaya saing, berfikiran kritis, dan mampu membuat keputusan berasaskan data serta ilmu syariah yang baik,” katanya.

Tambah beliau, dari sudut pembangunan akhlak dan nilai Islam, semua peserta menjalani modul seperti Tazkiyatun Nafs, kepimpinan berintegriti serta khidmat masyarakat.

Katanya lagi, tugasan komuniti, program mentoring dan aktiviti sosial turut diterapkan bagi membina kepimpinan yang berlandaskan Islam serta berorientasikan perkhidmatan masyarakat.

Dalam masa sama, peserta juga dibimbing untuk merangka pelan tindakan peribadi dan komuniti yang selaras dengan visi Kelantan Sejahtera 2033.

Menurut beliau, sehingga kini kerajaan negeri melalui KFLI telah berjaya melatih 1,040 belia menerusi tujuh program flagship utama sepanjang tempoh Januari 2025 hingga Mac 2026.

“Jumlah alumni terkumpul sebanyak 604 belia, iaitu 306 lelaki dan 298 perempuan. Mereka terdiri daripada belia seluruh negeri merangkumi pelajar sekolah, mahasiswa universiti, dan belia lepasan pengajian tinggi,” katanya lagi.

Tambah beliau, semua peserta didaftarkan dalam sistem pangkalan data rasmi di kfli.my bagi membolehkan pemantauan perkembangan, impak program serta penilaian kompetensi dilakukan secara berterusan.

Beliau turut memaklumkan kerajaan negeri sedang membangunkan Indeks Kompetensi Belia Kelantan sebagai mekanisme berasaskan data untuk menilai pencapaian ilmu, akhlak dan kepimpinan peserta.

“Kesemua ini merupakan sebahagian daripada komitmen strategik kerajaan negeri untuk memastikan Kelantan memiliki generasi pemimpin yang kompeten, amanah, dan mampu memartabatkan Islam serta memacu pembangunan negeri berdasarkan Membangun Bersama Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/4/2026

- Advertisement -