Tangguh PRN: Lindungi rakyat atau selamatkan kuasa? 

Ahmad Bilal Rahudin
- Advertisement -

AYER KEROH: Cadangan untuk menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor menimbulkan persoalan serius, khususnya apabila alasan yang diberikan dikaitkan dengan ketidaktentuan ekonomi global susulan konflik geopolitik. 

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Melaka, Ustaz Ahmad Bilal Rahudin berkata, alasan tersebut dilihat tidak konsisten apabila dibandingkan dengan pendirian pihak yang sama ketika pelaksanaan darurat pada tahun 2021 semasa pandemik COVID-19. 

“Ketika itu, darurat dikritik hebat dan dilabel sebagai langkah politik untuk menyelamatkan kerajaan. 

“Namun hari ini, cadangan penangguhan pilihan raya dalam keadaan negara yang stabil tanpa sekatan besar menimbulkan persepsi bahawa tindakan tersebut mempunyai motif politik yang serupa,” ujarnya dalam kenyataan. 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Parlimen DAP Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, yang mencadangkan kerajaan Melaka mengemukakan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat. 

Cadangan itu dibuat bagi menangguhkan pilihan raya negeri ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup yang meningkat susulan krisis bahan api. 

Sehubungan itu, Ahmad Bilal menegaskan bahawa situasi semasa tidak boleh disamakan dengan era pandemik kerana sistem pentadbiran negara kini berfungsi seperti biasa tanpa keperluan sekatan pergerakan atau larangan perhimpunan awam. 

“Oleh itu, sebarang usaha untuk menangguhkan PRN dalam keadaan ini boleh dilihat sebagai cubaan untuk mengelakkan penilaian rakyat terhadap prestasi kerajaan,” tegasnya. 

Menurut beliau, dalam sebuah negara demokrasi, mandat rakyat adalah asas utama dan hak rakyat untuk memilih pemimpin tidak wajar disekat atas alasan yang tidak munasabah. 

“Justeru, saya menegaskan bahawa PRN perlu diteruskan mengikut jadual bagi memastikan proses demokrasi dihormati dan suara rakyat terus terpelihara. 

“Kepimpinan yang berintegriti seharusnya bersedia untuk diuji di hadapan rakyat, bukan mencari alasan untuk menangguhkan proses tersebut,” ujarnya. 

Dalam pada itu, beliau turut menarik perhatian terhadap cadangan yang dikemukakan oleh beberapa pihak berhubung penangguhan PRN Melaka dan Johor yang hadir ketika momentum politik semasa menunjukkan perubahan sokongan rakyat. 

“Berdasarkan perkembangan terkini, terdapat kecenderungan bahawa parti-parti dalam kerajaan, khususnya Umno, bakal berdepan penyusutan kerusi yang signifikan. 

“Pada masa yang sama, sokongan terhadap DAP dan PKR, terutamanya dalam kalangan pengundi Cina, dilihat semakin terhakis akibat kekecewaan terhadap situasi ekonomi dan pentadbiran semasa,” katanya. 

Terdahulu, media tempatan melaporkan, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor menyatakan tiada keperluan mendesak untuk mengadakan PRN Johor dalam masa terdekat kerana keadaan ekonomi dan ketidaktentuan global yang masih menekan rakyat.  

Ketuanya, Mohd Faezuddin Puad berkata, mereka bimbang kos hidup dan pergerakan tinggi akan menyebabkan kadar keluar mengundi rendah serta mandat tidak mencerminkan suara majoriti.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan turut dilaporkan berkata, cadangannya supaya menangguhkan PRN Johor dan Melaka hanyalah pandangan peribadi, bukan keputusan rasmi parti Umno.

Beliau berpandangan faktor ‘timing’ politik penting, terutama ketika emosi rakyat sedang terkesan oleh isu ekonomi dan geopolitik.

Menurutnya, pengalaman lalu seperti Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menunjukkan kesilapan masa boleh membawa kesan besar kepada keputusan pilihan raya. – HARAKAHDAILY 16/4/2026

- Advertisement -