BBC bakal kurangkan 2,000 pekerja

_Matlamat kurangkan kos kira-kira 10% menjelang 2029_

- Advertisement -

LONDON: Perbadanan Penyiaran British (BBC) BBC mengumumkan dalam  perancangan untuk mengurangkan sehingga 2,000 pekerjaan sebagai sasaran penjimatan  10 peratus daripada bajet tahunannya sebanyak  £500 juta (RM2.68 bilion) menjelang tahun 2029.

- Advertisement -

Pemberhentian pekerja yang diumumkan oleh Ketua Pengarah sementara, Rhodri Talfan Davies itu adalah yang terbesar dalam tempoh lebih sedekad di penyiar kebangsaan United Kingdom itu.

“Saya tahu ini mewujudkan ketidakpastian sebenar, tetapi kami mahu bersikap terbuka tentang cabaran ini,” kata Davies dalam e-mel kepada kakitangan BBC.

Menurutnya, pengurangan itu didorong oleh inflasi, tekanan kepada yuran lesen dan pendapatan komersial serta senario ekonomi global yang bergolak.

Terdahulu, pada awal tahun ini BBC mengumumkan berkata bahawa ia menghadapi ‘tekanan kewangan yang besar’ dan mahu mengurangkan kira-kira sepersepuluh daripada bajetnya menjelang 2029. 

Sebahagian besar pemotongan itu akan dibuat pada tahun fiskal akan datang bermula 1 April 2027.

Pemotongan itu dibuat ketika bekas eksekutif Google, Matt Brittin, dijadualkan mengambil alih jawatan Ketua Pengarah pada bulan depan.

Beliau akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan selepas Tim Davie, dan Ketua Berita, Deborah Turness yang telah meletakkan jawatan atas suntingan yang mengelirukan dalam dokumentari mengenai ucapan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada 6 Januari 2021, sebelum pengikutnya menyerbu Capitol AS.

Trump menyaman BBC sebanyak USD10 bilion atas tuduhan memfitnah dirinya.

BBC merupakan institusi budaya yang dibiayai yuran lesen tahunan, yang baru-baru ini meningkat kepada £180 (AS$244), dibayar oleh semua isi rumah UK untuk menonton televisyen secara langsung atau sebarang kandungan BBC.

Penentang yuran tersebut, termasuk penyiar komersial pesaing, telah menjadi semakin lantang dalam era penstriman digital, apabila ramai orang tidak lagi mempunyai televisyen atau mengikuti jadual televisyen tradisional.

BBC ditubuhkan pada tahun 1922 sebagai perkhidmatan radio untuk ‘memaklumkan, mendidik dan menghiburkan’ dan kini mempunyai kira-kira 21,500 pekerja. 

Ia kini mengendalikan 15 saluran televisyen kebangsaan dan serantau UK, beberapa saluran antarabangsa, 10 stesen radio kebangsaan, berpuluh-puluh stesen radio tempatan, radio World Service yang merangkumi seluruh dunia dan output digital yang meluas, termasuk perkhidmatan penstriman iPlayer. – HARAKAHDAILY 16/4/2026

- Advertisement -