Persidangan DUN Kelantan bermula 20 April ini

Mohd Amar Abdullah
- Advertisement -

KOTA BHARU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dijadual berlangsung selama empat hari bermula 20 April ini.

- Advertisement -

Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Dato’ Sri Amar DiRaja Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, persidangan kali ini akan dimulakan dengan titah ucapan perasmian oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan.

Menurutnya, tiga hari berikutnya diperuntukkan bagi sesi perbahasan oleh Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri.

“Dewan akan mula bersidang pada 20 April ini. Satu hari untuk perasmian dan tiga hari lagi untuk perbahasan seperti biasa,” katanya kepada Harakahdaily, di sini, hari ini.

Menurut beliau, setakat ini tiada sebarang rang undang-undang atau usul yang akan dibentangkan dalam persidangan berkenaan.

Katanya, semua soalan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan telah selesai diterima oleh kerajaan.

“Setakat ini tidak ada usul. Dewan kali ini hanya titah ucapan perasmian oleh Tuanku dan kemudian persidangan biasalah,” katanya.

Beliau turut menjelaskan penggal DUN Kelantan hanya akan genap tiga tahun pada September ini.

“Sekiranya Pilihan Raya Umum diadakan lebih awal di peringkat Parlimen, DUN Kelantan tidak semestinya dibubarkan serentak.

“Dewan Negeri Kelantan cukup tiga tahun pada September, jadi boleh ikut pembubaran Parlimen kemudian jika perlu,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/4/2026

- Advertisement -