
ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menggesa agar isu membabitkan perkhidmatan feri ke Langkawi diambil perhatian oleh pihak berwajib.
Katanya, hal itu telahpun diutarakan beliau beberapa kali kerana kebanyakan yang menggunakan perkhidmatan feri ke Langkawi adalah dari kalangan pelancong domestik.
“Pelancong luar negara dan orang-orang kaya, mereka kebanyakannya naik kapal terbang sebab kita ada 25 penerbangan ke Langkawi. Pelancong tempatan naik feri.
“Bila feri bermasalah, pelancong pun berkurangan,” tegas beliau pada sidang media selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, ditangguhkan lewat tengahari tadi.
Kata Sanusi lagi, masalah yang dihadapi oleh pengusaha feri ketika ini adalah berkenaan subsidi minyak diesel, apatah lagi harga bahan bakar tersebut semakin melambung tinggi kini.
“Ada feri besar, setiap perjalanan pergi dan balik menelan belanja sehingga RM40,000 kos minyak. Ada tiga pulau iaitu Pulau Tioman, Langkawi dan Pulau Pangkor.
“Paling mahal kosnya ke Langkawilah sebab jauh. Dari Jeti Kuala Kedah satu jam setengah, dari Jeti Kuala Perlis, dekat sejam. Ke Pulau Pangkor 15 minit sahaja. ‘Servis’ minyak diesel pun tak samalah.
“Oleh itu saya mengharap agar pertimbangan subsidi lebih baik kepada pengusaha feri, baharulah mereka boleh beroperasi,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri.
Sebelum ini kata beliau, terdapat cadangan dari Kementerian Pengangkutan (MOT) agar dikenakan surcaj minyak kepada pelancong melalui penambahan harga tiket feri.
Namun baginya, pendekatan seperti itu agak kurang sesuai kerana kerajaanlah sepatutnya bertindak membantu orang ramai dan bukannya menambah beban mereka.
“Kerajaan dapat banyak faedah daripada kehadiran pelancong. Kerajaan boleh bedak-bedaklah (bahagi) keuntungan yang mereka dapat, sana sikit, sini sikit. Bagilah subsidi minyak diesel kepada pengusaha feri.
“Mereka boleh operasi banyak kali. Pelancong pun akan bertambah. Secara tidak langsung boleh hidupkan semula pelancongan di Langkawi,” ujarnya berikutan pendapatan dari sektor pelancongan yang diperolehi Kerajaan Persekutuan mencecah antara RM4-5 billion.
Sanusi juga memohon jasa baik semua pihak agar tidak menyebarkan berita palsu atau tidak benar berkenaan Langkawi kerana perkara negatif seumpama itu boleh membawa implikasi kurang baik kepada sektor pelancongan di pulau itu.
“Cerita atau khabar tak betul, tak elok, jangan sebar. Ada Menteri kata datang Langkawi tak boleh pakai seluar pendek. Itu tak betul. Mana ada larangan pakai seluar pendek.
“Tiada halangan kepada orang bukan Islam kalau nak pakai seluar pendek. Itu hanya cerita rekaan untuk memburukkan kita,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 16/4/2026











