Insentif fiskal RM200 juta wajar kerana Kedah berkorban

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri mengharap insentif fiskal untuk negeri ini sebanyak RM200 jutw ditunaikan oleh Kerajaan Persekutuan, pohon Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Katanya, permintaan RM200 juta itu tidaklah banyak sekiranya dibandingkan dengan pengorbanan Kedah mengekalkan tanahnya untuk keperluan negara.

“Yang beri subsidi kepada petani tu, kekalkanlah. Tetapi untuk negeri, pampasan bayaran khas untuk mengekalkan kawasan tadahan, pengairan, empangan dan kawasan penanaman padi perlulah diberi perhatian.

“Minta RM200 juta sahaja. Kedah bukan negeri kaya. Yang kita hidup sekarang ni kerana kita berjimat cermat dan merancang. Kita juga ada had keupayaannya,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ditangguhkan, lewat tengahari tadi.

Sanusi juga membidas sikap pihak tertentu yang beliau gelar sebagai ‘ceplos’ yang menjaja maklumat tidak benar, kononnya Kerajaan Negeri meminta wang ‘free‘ (percuma) dari Kerajaan Persekutuan.

“Kalau kita bangunkan kawasan itu,contohnya kawasan sawah padi. Pengeluaran padi akan berkurang, penanaman padi dan bekalan beras negara akan terkesan.

“Oleh itu,apabila kita mengambil sikap mengekalkannya untuk jaminan bekalan makanan negara,negara tak perlu import beras. Negara pun dapat jimatkan kos import,” ulasnya lagi.

Di Kedah maklumnya, ramai dari kalangan rakyatnya masih mahu mengabdikan diri kepada industri padi walaupun mereka tahu ia tidak boleh menjana kekayaan.

Malah beliau merasa terharu apabila alasan mereka meneruskan pekerjaan sebagai Pak tani adalah kerana hendak keluarkan zakat.

“Mulianya jawapan orang buat bendang ni. Hebat orang Kedah ni,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri.

Justeru katanya, menyantuni orang-orang berjiwa sedemikian bukan sahaja mengundang keberkatan Allah SWT, sebaliknya menjadi pembantu untuk meneruskan kelangsungan pentadbiran negeri mahupun negara walaupun dengan keupayaan terhad.

“Atas keupayaan kita yang terhad ni kalau ada Allah tolong dengan keberkatan,kita boleh pi jauh lagi. Tapi kalau kita harap pandai sorang-sorang (seorang), tak harap berkat dan doa orang-orang susah, jadi kelam kabut, jadi celaru, haru biru habis. Nak pi kot mana pun tak tau,” tegasnya lagi.

Terdahulu, pada ucapan penggulungan, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri telah mengemukakan permohonan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berhubung insentif fiskal berkenaan berjumlah RM200 juta pada 11 Mei 2023 lalu.

Namun sehingga hari ini, permohonan tersebut katanya belum mendapat pertimbangan Kerajaan Persekutuan, meskipun terdapat beberapa siri pembentangan serta perbincangan susulan berhubung hal tersebut.

“Selaras dengan Titah Tuanku Sultan Kedah, adalah wajar untuk Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan permohonan Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri akan terus bersuara kerana pengorbanan ini hanya akan berbaloi dengan bayaran insentif fiskal yang setimpal,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 16/4/2026

- Advertisement -

- Advertisement -