
KUALA TERENGGANU: Tiga bandar di Terengganu, iaitu Kuala Terengganu, Permaisuri (Setiu) dan Marang tersenarai antara 10 bandar paling bahagia di Malaysia menurut penilaian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pengiktirafan itu mencerminkan tahap kesejahteraan hidup, keharmonian komuniti serta kecekapan tadbir urus yang dinikmati rakyat negeri ini.
“Pengiktirafan ini membuktikan usaha berterusan pelbagai pihak dalam memastikan pembangunan negeri bukan sahaja tertumpu kepada aspek fizikal, malah turut menitikberatkan kebahagiaan dan kualiti hidup masyarakat,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya.
Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman turut merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan dan masyarakat atas usaha menjadikan Terengganu sebagai negeri selesa dan membahagiakan untuk didiami.
Beliau berkata, komitmen itu perlu diteruskan agar negeri terus kekal sebagai tempat terbaik untuk didiami.
“Bahagia itu bukan kebetulan, sebaliknya hasil usaha konsisten semua pihak. Justeru, komitmen ini perlu diteruskan agar negeri ini kekal sebagai tempat terbaik untuk didiami,” ujarnya.
Terdahulu, KPKT mengumumkan senarai 10 bandar paling bahagia di Malaysia bagi tahun 2026, melibatkan beberapa negeri merentasi Semenanjung dan Sabah.
Menurut kenyataan KPKT, pengiktirafan itu diberikan kepada Dabong (Kelantan), Kluang (Johor), Kuala Terengganu (Terengganu), Bandar Lipis (Pahang) serta Marang (Terengganu). – HARAKAHDAILY 9/4/2026




















