
ALHAMDULILLAH, sehingga waktu terakhir amaran oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk menyerang Iran dengan serangan yang menggila, beliau kemudiannya membatalkan buat sementara waktu serangan itu. Amaran serangan itu dibayangkan sebagai boleh mencetuskan Perang Dunia Ketiga. Gencatan senjata selama dua minggu itu dikatakan dipersetujui hasil daripada rundingan yang dijalankan dengan pemimpin Pakistan.
Trump dilihat hanya berlakon berseorangan di pentas perang kali ini. Dia yang mengugut, dia yang meredakan. Dia yang melaporkan kerosakan serangan kepada Iran, dia juga yang menafikan kerosakan yang berlaku kepada pihaknya. Dia yang mendakwa menang, sehingga sekarang, Selat Hormuz masih dalam penguasaan Iran. Kemudiannya dia yang bertegas mahu menyerang namun Iran tetap tegas tidak pernah mahu berundur, malah menunggu kedatangan tentera-tentera Amerika. Akhirnya dia juga yang mengisytiharkan gencatan senjata.
Kita mungkin hanya membaca sejarah berkenaan kegilaan sesetengah pemimpin dunia dalam tempoh pemerintahan mereka, dalam usaha menguasai dunia. Akan tetapi kegilaan mereka datang dengan kegagahan yang setanding. Genghis Khan contohnya membunuh jutaan manusia, suatu tindakan di luar kewarasan akal, tetapi namanya disebut sebagai legenda yang yang amat ditakuti dengan berjaya mengalahkan semua negara dalam laluannya ke Timur Tengah dengan pasukan berkuda yang sangat hebat.
Begitu juga pada kurun ke-15, nama Raja Ferdinand dan Ratu Isabella yang berjaya merampas kembali Andalusia kemudiannya mendirikan Sepanyol. Gandingan kegilaan mereka telah membunuh ribuan umat Islam ketika peralihan kuasa itu dan memaksa menukar agama kepada Kristian. Akan tetapi bagi penganut Kristian yang sedang dalam suasana Perang Salib, mereka merasa begitu bangga dengan kekuasaan kedua mereka kerana berjaya mengembalikan maruah Kristian, walaupun begitu zalimnya.
Dan sekarang, kita dapat melihat sendiri kegilaan Trump, salah seorang pemimpin mereka, tetapi begitu teruk tahap kebodohannya. Paling mengejutkan, suasana di dalam negaranya sendiri, ribuan rakyat memprotes tindakan jahat dan tidak berperikemanusiaan itu.
Trump takut untuk mengisytiharkan peperangan ini atas nama agama kerana gerun dengan kesan kebangkitan umat Islam apabila mereka bersatu nanti kerana Islam pasti menang. Pernah direkodkan George W. Bush pernah melakukan kesilapan dengan mendakwa perang ke atas Iraq adalah kesinambungan Perang Salib. Namun segera mereka menafikannya.
Sementara itu majoriti rakyat Amerika sangat marah kerana perang yang tiada tujuan yang benar ini sudah dimaklumi semua hanya bagi memuaskan kehendak Israel, negara haram yang menyusahkan dunia, bukan bagi kedaulatan Amerika. Cuma sahaja duit cukai yang mereka dakwa itu, dibimbangi sebenarnya duit sumbangan negara-negara Arab di sini.
Trump cuba menjadi legenda, tetapi gagal kerana ia bukan untuk tujuan kepentingan samada negara, bangsa mahupun agama mereka. Jauh sekali dengan tujuan peperangan oleh pemimpin dunia yang zalim dahulu itu, jelas mereka berperang bukan kerana Zionis yang tidak berguna itu.
Sebanyak tujuh buah jet pejuang mereka telah berjaya ditembak jatuh oleh Iran dengan seorang juruterbang mereka berjaya ditangkap dan seorang lagi masih belum ditemui. Nilaian jet-jet itu melebihi berbilion dolar, sedangkan di pihak Iran, mereka hanya menunggu kedatangan musuh.
Menambah lagi tekanan, Ahli Demokrat Dewan Perwakilan Amerika telah mencadangkan usul bagi memecat Trump dari jawatannya dengan dakwaan jenayah tinggi dan salah laku kerana memulakan peperangan dan lanun di laut lepas.
Lebih memalukan Trump apabila usul yang cuba dibawa oleh Bahrain di PBB bagi memaksa Iran membuka semula Selat Hormuz dengan ugutan ketenteraan, walaupun mendapat 11 undi sokongan, dua menentang dan dua lagi berkecuali, tidak memberi sebarang makna apabila Rusia dan China menggunakan kuasa veto mereka menolak usul tersebut.
Ia terjadi sehari sebelum berakhir tarikh ugutan Trump untuk menyerang Iran. Satu keaiban apabila kuasa lain tidak tunduk kepada kehendak Amerika yang mengaku kuasa besar dunia, melalui usul Bahrain itu.
Kini, dengan menggunakan nama Pakistan sebagai orang tengah bagi perdamaian, dunia sinis mendengar ‘sembang’ Trump yang mengatakan rundingan berjalan dengan baik dan Amerika bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata selama dua minggu.
Sedangkan Iran dengan tegas menyatakan mereka tidak akan berganjak dan akan menyambut kemaraan tentera Amerika itu. Pastinya semua orang tersenyum kerana kita tidak memerlukan kepakaran yang tinggi bagi mengesan ketakutan dalam diri seseorang itu. Cukuplah apabila kita kenal ciri-ciri asas jenis manusia ‘sembang kari’ ini. Orang sebenarnya tidak seram kepada Trump, cuma gilanya itu terlalu bahaya.
MOHD NASIR ABDULLAH
9 April 2026 – HARAKAHDAILY 9/4/2026
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











