
KUALA LUMPUR: Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Hanif Jamaluddin menempelak tindakan menggambarkan Perdana Menteri sebagai pemimpin hebat yang memiliki kebijaksanaan luar biasa dalam menghadapi krisis.
“Malah cuba menyamakan dengan Nabi Yusuf dalam Belanjawan 2023 terutama berkait persiapan menghadapi krisis?
“Jika benar begitu hebat, di manakah perancangan strategik kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga dari Asia Tengah yang sememangnya diketahui dunia sentiasa terdedah kepada konflik?
“Hebat macam mana seorang pemimpin jika akhirnya alasan yang diberikan tetap sama, dunia sedang bergolak, maka rakyat perlu faham dan terus menanggung beban?” soalnya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Hanif turut menggesa Angkatan Muda Keadilan (AMK) menghentikan peranan sebagai jurucakap yang sekadar mempertahankan kegagalan kerajaan dengan hujah kononnya akademik tetapi kosong isi.
Beliau berkata demikian merujuk tindakan Naib Ketua AMK, Nadia Nazri yang melabel jawapan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengenai kenaikan harga minyak sebagai ‘simplistik’
Nadia mendakwa Malaysia tetap terjejas kerana bergantung kepada import petroleum bertapis dan dipengaruhi pasaran tenaga global.
Mengulas lanjut Hanif menegaskan bahawa rakyat tidak memerlukan pidato berbelit-belit, sebaliknya mahukan kepimpinan yang jujur, berpandangan jauh dan berani mengakui kelemahan sendiri.
Menurut beliau, jika sebelum ini pelbagai formula penurunan harga minyak dijanjikan secara lantang, maka hari ini rakyat tidak wajar dipersalahkan seolah-olah gagal memahami ekonomi.
“Yang sebenarnya gagal ialah kerajaan yang kuat berjanji, lemah berfikir, dan semakin pakar mencari alasan,” tegasnya.
Dalam nada tegas, Hanif menyifatkan kenyataan Naib Ketua AMK itu sebagai tindakan yang memakan diri.
Kenyataan itu, ujar beliau, seolah-olah melupakan bahawa tokoh yang paling lama menabur retorik dan janji berkaitan penurunan harga minyak ialah Presiden parti berkenaan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
“Apakah saudari (Nadia Nazri) sudah lupa siapa yang selama puluhan tahun membina persepsi bahawa segala masalah harga minyak boleh diselesaikan?
“(Ia boleh selesai) Dengan perubahan kerajaan, tadbir urus yang lebih baik dan pengurusan ekonomi yang kononnya lebih cekap?
“Jika hari ini AMK mahu bercakap mengenai realiti ekonomi yang kompleks, ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan pasaran global, maka rakyat berhak bertanya.
“Mengapa hujah yang sama tidak digunakan oleh Anwar ketika beliau menjadi ketua pembangkang dahulu?” soalnya.
Beliau juga mempersoalkan mengenai lawatan luar negara Perdana Menteri yang membawa pelbagai pengumuman pelaburan.
“Ia menunjukkan tidak jelas usaha mempelbagaikan sumber import bahan api, memperkukuh rizab strategik tenaga serta membina mekanisme perlindungan harga.
“Timbul persoalan sama ada keutamaan sebenar hanya untuk membina persepsi antarabangsa sedangkan rakyat terus berdepan tekanan kos hidup,” katanya.
Mengulas kenyataan Naib Ketua AMK, beliau berpandangan ulasan panjang itu tidak menjawab inti hujah yang dibangkitkan oleh Presiden PAS.
Sebaliknya, tambah beliau, penjelasan hanya berkisar kepada pasaran global dan ketegangan serantau tanpa menjawab pelan konkrit kerajaan untuk menstabilkan beban rakyat.
“Apabila jawapan sarat dengan justifikasi tetapi kosong daripada penyelesaian, ia bukan penjelasan sebaliknya cubaan menutup kelemahan pentadbiran,” hujahnya lagi.
Beliau turut membangkitkan isu ketegangan geopolitik yang dijadikan alasan kenaikan harga minyak.
“Lebih malang, alasan ketegangan geopolitik dijadikan alasan harga minyak walhal tiadanya harga minyak mencanak naik jika pasangan berdansa PMX, Donald Trump celaka tidak mulakan perang.
“Bukankah rakan joget yang disambut penuh gilang-gemilang membawa pelaburan berbilion- bilion ringgit. Kenapa tidak gunakan keuntungan pelaburan itu untuk tampung subsidi minyak kepada rakyat?” soalnya lagi dalam nada tegas.
Selain itu, beliau turut menekankan isu ketirisan dan penyeludupan petrol serta diesel di Sabah dan Sarawak yang sering dibangkitkan rakyat.
Menurut Hanif, kerajaan dlebih tegas terhadap pengguna di Semenanjung Malaysia atas alasan penyasaran subsidi.
“Rakyat melihat sendiri betapa dasar subsidi hari ini bersifat dwistandard dan jauh daripada prinsip keadilan.
“Ia dipengaruhi oleh pertimbangan politik dan survival kuasa seorang Perdana Menteri,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/4/2026











