Alu-alukan industri kreatif selaras garis panduan

Produser, kru produksi dipelawa ke Terengganu

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu mengalu-alukan kehadiran produser dan kru produksi untuk menjalankan penggambaran di negeri ini, dengan syarat mematuhi garis panduan berteraskan prinsip syariah.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Dato’ Razali Idris berkata, setiap permohonan penggambaran perlu dikemukakan kepada Jabatan Pelancongan untuk penilaian menyeluruh.

“Kita bukan sekadar menjaga lokasi penggambaran, tetapi turut menilai skrip, mesej, pemakaian dan semuanya mesti selari dengan budaya tempatan dan prinsip syariah,” katanya ketika memetik laporan TRDI.

Beliau berkata, setiap produksi perlu melalui proses penapisan awal dengan pembentangan kepada Jawatankuasa Penapisan sebelum kelulusan diberikan.

Katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, pemantauan akan dilakukan secara berterusan sepanjang tempoh penggambaran bagi memastikan semua garis panduan dipatuhi.

“Kalau ada pelanggaran, kita tidak akan berkompromi dengan tindakan kompaun sehingga RM25,000 bagi setiap kesalahan boleh dikenakan sebagai pengajaran,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata langkah tersebut bukan bertujuan menyekat industri kreatif, sebaliknya memastikan perkembangan sektor itu selari dengan identiti negeri.

“Kita bersedia membantu dari segi kemudahan dan sokongan logistik.

“Yang penting, industri berkembang tetapi jati diri, budaya dan prinsip Terengganu tetap terpelihara,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan itu juga bersifat inklusif yang mana produksi bukan berasaskan Islam tetap dibenarkan selagi mematuhi konsep mesra Muslim. 

Razali memaklumkan kerajaan negeri menerima dua pembentangan daripada syarikat yang berminat untuk mengadakan acara di Terengganu, di mana satu daripadanya, diketuai Syahmi Sazli dari Kelantan, merancang adakan food festival dan penghasilan video pendek. 

Manakala, syarikat kedua pula bercadang mengadakan acara food festival dengan konsep khusus untuk wanita sahaja di lokasi indoor, termasuk stadium, dengan semua aspek dijalankan oleh wanita termasuk teknikal, persembahan dan keselamatan.

Terdahulu, beberapa produser telah mengadakan pertemuan bersama Razali bagi mengadakan penggambaran di Terengganu.

Bagaimanapun perkara itu memerlukan pertimbangan lanjut berikutan terdapat pelanggaran garis panduan yang ditetapkan negeri ini. – HARAKAHDAILY 9/4/2026

- Advertisement -