Dabong dinobat Bandar Paling Bahagia di Malaysia

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan ucapan tahniah kepada Majlis Daerah Dabong selepas kawasan itu dinobatkan sebagai Bandar Paling Bahagia di Malaysia bagi tahun 2026.

Pengiktirafan tersebut diumumkan sempena Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan dirasmikan oleh Menteri KPKT, Nga Kor Ming.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Hilmi Abdullah berkata, kejayaan itu membuktikan usaha berterusan pihak berkuasa tempatan dalam memastikan kesejahteraan rakyat berada pada tahap terbaik.

Katanya, pengiktirafan berkenaan juga mencerminkan keseimbangan pembangunan fizikal, sosial dan alam sekitar yang berjaya dicapai di Dabong.

“Tema sambutan tahun ini iaitu ‘Bijak Digital, Cipta Bahagia’ menekankan kepentingan penggunaan teknologi secara bijak dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia yang diraikan pada 20 Mac setiap tahun bertujuan mengiktiraf hubungan antara pembangunan mampan dengan kesejahteraan hidup rakyat.

Tambahnya, penentuan Indeks Kebahagiaan Bandar 2026 kini lebih komprehensif dengan integrasi dua sumber data utama iaitu 80 peratus daripada Jabatan Perangkaan Malaysia dan 20 peratus daripada sistem MURNInets oleh PLANMalaysia.

“Pendekatan ini menggabungkan data makro melibatkan kesejahteraan fizikal, sosial, emosi dan spiritual dengan persepsi sebenar penduduk terhadap kualiti persekitaran serta perkhidmatan perbandaran,” jelasnya.

Menurutnya lagi, kaedah tersebut menjadikan indeks yang dihasilkan lebih kukuh, konsisten dan seimbang sebagai rujukan utama dalam merangka dasar pembangunan negara.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak berkuasa tempatan yang berjaya meraih pengiktirafan dalam Anugerah Bandar Paling Bahagia 2026. – HARAKAHDAILY 9/4/2026

- Advertisement -