Tekanan, buli jejas ‘kesihatan’ kerjaya doktor muda

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Doktor muda dan pelatih kini semakin lantang menyuarakan kebimbangan terhadap budaya buli serta tekanan kerja melampau dalam sistem kesihatan awam.

Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, senario tersebut telah mencalarkan laluan kerjaya doktor yang sebelum ini dipandang tinggi dan dihormati masyarakat.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kuala Langat itu malah turut menegaskan, isu membelenggu itu sekali gus menjejaskan daya tarikan profesion perubatan yang suatu ketika dahulu dianggap berprestij.

Beliau berkata, polemik tenaga kerja kesihatan awam perlu dinilai secara menyeluruh dengan mengambil kira trend pengambilan sejak sedekad lalu.

“Pada tahun 2017, pengambilan doktor pelatih merekodkan seramai 5,746 orang, menurun kepada 4,924 (2018) sebelum meningkat semula kepada 6,139 pada 2019.

“Namun, antara 2020 hingga 2022, pengambilan doktor pelatih merosot sekitar 1,000 orang setiap tahun, manakala bagi tiga tahun berikutnya, jumlah kemasukan kekal mendatar sekitar 3,200 orang,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Mengulas laporan oleh MBSB Research yang menyatakan hanya 529 doktor pelatih melaporkan diri baru-baru ini, beliau menjelaskan angka tersebut merujuk kepada pengambilan Januari 2026 sahaja, sedangkan terdapat empat hingga lima lagi sesi pengambilan sepanjang tahun.

“Walaupun begitu, trend penurunan ini tetap perlu diberi perhatian serius bagi memastikan sistem kesihatan awam kekal utuh dalam jangka panjang,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mendedahkan bahawa seramai 6,919 petugas kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meletak jawatan dan beralih ke sektor swasta antara tahun 2020 hingga 2024.

“Jumlah itu melibatkan 1,856 pegawai perubatan tetap, 3,846 pegawai perubatan kontrak serta 1,217 pakar perubatan,” ujarnya yang juga Ketua Portfolio Kesihatan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).

Ahmad Yunus menjelaskan, terdapat beberapa faktor utama yang menyumbang kepada penurunan tenaga kerja kesihatan, termasuk perubahan kecenderungan pelajar cemerlang kini tidak lagi menjadikan bidang perubatan sebagai pilihan utama.

Katanya, persaingan daripada bidang lain seperti kecerdasan buatan, kejuruteraan semikonduktor dan sains komputer yang menawarkan gaji permulaan lebih menarik turut mempengaruhi trend tersebut.

“Selain itu, isu budaya kerja yang tidak sihat terus menjadi kebimbangan apabila doktor muda semakin berani menyuarakan isu buli dan tekanan kerja yang keterlaluan.

“Keadaan ini telah menjejaskan imej kerjaya doktor yang suatu ketika dahulu dipandang tinggi dan disegani,” katanya.

Tambah beliau, faktor tawaran lebih lumayan dari luar negara turut mempercepatkan penghijrahan tenaga kerja kesihatan tempatan.

“Singapura misalnya, kini mula menyasarkan pelajar tahun akhir perubatan dari Malaysia sebelum mereka menduduki peperiksaan akhir lagi,” katanya.

Menurut beliau lagi, KKM sendiri mengakui bahawa kebanyakan doktor muda bukan sahaja mengejar pendapatan lebih tinggi, tetapi turut mengutamakan aspek maruah dalam kerjaya.

“Mereka mahu dilayan sebagai kakitangan tetap dengan laluan kepakaran yang jelas, bukannya sekadar berperanan sebagai pembantu kepada pegawai perubatan,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/4/2026

- Advertisement -