SPM: ‘Straight A’ mampu bina tamadun berkualiti?

Ubah orientasi 'exam' kepada bina insan seimbang ilmu, akhlak dan kemahiran

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Peningkatan jumlah pelajar memperoleh keputusan semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak semestinya mencerminkan kekuatan sebenar generasi masa depan.

Ketua Penerangan Pemuda PAS, Khairul Nadzir Helmi Azhar, berkata walaupun keputusan SPM menunjukkan peningkatan Gred Purata Kebangsaan (GPK) kualiti modal insan negara tetap perlu dinilai mendalam.

- Advertisement -

“Di sebalik angka kejayaan, timbul persoalan sama ada kita benar-benar melahirkan generasi yang kuat atau sekadar pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan?” soalnya.

Menurut beliau, dapatan Program Pentaksiran Murid Antarabangsa (PISA) 2022 menunjukkan hanya sekitar 41 peratus pelajar Malaysia mencapai sekurang-kurangnya Tahap 2 dalam matematik.

Ulas beliau, pencapaian tersebut hakikatnya jauh ketinggalan berbanding purata 69 peratus negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

Lebih membimbangkan katanya, hanya kira-kira satu peratus pelajar berada dalam kategori pencapaian tinggi berbanding sembilan peratus di negara maju.

“Ini bukan sekadar isu akademik, tetapi menunjukkan tahap kesiapsiagaan pelajar menghadapi dunia sebenar yang kompleks dan mencabar,” ujarnya menjelaskan kebimbangan itu.

Beliau turut menyifatkan keadaan ini sebagai satu paradoks apabila peningkatan pelajar cemerlang dalam peperiksaan tidak selari dengan keupayaan menggunakan ilmu dalam kehidupan sebenar.

Dalam masa sama ulasnya, perubahan pesat dunia termasuk kecerdasan buatan, automasi dan ekonomi digital menuntut kemahiran berfikir kritikal, komunikasi serta keupayaan menyesuaikan diri, bukan sekadar kecemerlangan akademik.

Tambah beliau, ramai lepasan SPM masih kabur dalam menentukan hala tuju hidup walaupun memperoleh keputusan cemerlang, malah sering membuat pilihan berdasarkan tekanan sosial.

“Universiti sering dianggap satu-satunya jalan kejayaan, sedangkan laluan kemahiran seperti TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) masih dipandang sebagai pilihan kedua,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan sistem pendidikan perlu beralih daripada terlalu berorientasikan peperiksaan kepada pembinaan insan yang seimbang dari segi ilmu, akhlak dan kemahiran.

“Pendidikan perlu kembali kepada asasnya iaitu membina manusia yang bukan sahaja cemerlang dalam peperiksaan tetapi mampu menghadapi realiti kehidupan,” katanya.

Menurutnya, sekolah juga perlu memperkukuh bimbingan kerjaya lebih awal, manakala masyarakat harus mengubah persepsi terhadap definisi kejayaan.

Beliau menegaskan, persoalan sebenar bukan lagi jumlah pelajar memperoleh semua A, tetapi sejauh mana mereka benar-benar bersedia menghadapi dunia yang semakin kompleks.

“Jika kita terus berbangga dengan angka semata-mata, kita berisiko melahirkan generasi yang cemerlang di atas kertas tetapi belum tentu mampu membina tamadun berkualiti,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/4/2026

- Advertisement -