Pelajar Kelantan di Timur Tengah disahkan selamat

Ikuti arahan Kedutaan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan mengesahkan pelajar negeri ini yang berada di Timur Tengah berada dalam keadaan selamat meskipun konflik semasa melibatkan Iran dan Amerika Syarikat.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, pihaknya sentiasa berhubung dengan Kedutaan Malaysia bagi memantau perkembangan semasa.

- Advertisement -

Katanya, pelajar dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi segala arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak kedutaan di negara masing-masing.

“Setakat ini keadaan masih terkawal, aktiviti harian termasuk sesi pembelajaran berjalan seperti biasa,” katanya memaklumkan jumlah pelajar Kelantan di Mesir melebihi 800 orang, manakala di Jordan lebih 200 orang.

Konflik Iran-Amerika Syarikat ketika ini tercetus susulan siri serangan ketenteraan antara kedua-dua pihak yang meningkatkan ketegangan di rantau Timur Tengah.

Tambahnya, kerajaan negeri belum mempunyai sebarang perancangan untuk membawa pulang pelajar kerana keadaan masih stabil.

“Saya menyeru ibu bapa supaya bertenang dan mendapatkan maklumat sahih melalui saluran rasmi termasuk Yayasan Islam Kelantan serta pihak kedutaan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 9/4/2026

- Advertisement -