Syor bina saliran bagi bekalan air untuk sawah padi

- Advertisement -

POKOK SENA: Jabatan Perairan dan Saliran (JPS) dicadangkan membina saliran air bermula dari sungai Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) untuk disalurkan ke beberapa lokasi pertanian yang dikenal pasti mengalami masalah akibat kemarau kini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada, Ustaz Salim Mahmood ketika lawatannya meninjau tapak projek berkaitan menzahirkan harapan agar cadangan tersebut mendapat kerjasama terbaik dan tindakan segera dari pihak JPS.

- Advertisement -

“Usaha bersepadu bagi membantu para pesawah mendapatkan bekalan air untuk musim penanaman kali ini. Saya menyerahkan pelaksanaannya kepada pihak JPS, tetapi saya mengharapkan projek ini dapat dilakukan dengan segera.

“Yang penting jarak paip tersebut tidaklah terlalu jauh untuk membolehkan bekalan air dari sungai MADA dapat sampai ke beberapa kampung persekitaran,” kata beliau.

Kampung yang dikenal pasti antaranya Kampung Menerong, Kampung Kubah, Kampung Paya, Kampung Padang, Kampung Budi dan lain-lain yang berdekatan, membabitkan ratusan relung sawah padi.

Usaha tersebut juga katanya, bagi memastikan sawah di kawasan tersebut dapat menghasilkan padi yang subur dan cantik.

Inisiatif tersebut merupakan pelan jangka panjang untuk memastikan sumber air mencukupi bagi kegunaan pesawah meningkatkan hasil pertanian, sekali gus menjamin kelangsungan ekonomi penduduk setempat.

Dalam pada itu, Ustaz Salim juga mengharapkan pelaksanaan projek tersebut dapat mengurangkan kebergantungan kepada sumber air sedia ada, serta dapat memberi manfaat berterusan kepada komuniti pesawah di kawasan terlibat.

Selain beliau, lawatan ke lokasi berkenan turut disertai Penolong Pengarah Kanan, Pengairan, Saliran Pertanian dan Pantai JPS Kedah, Nurul Syariza Ramli serta Jurutera JPS Daerah Pokok Sena, Abdul Samad Saad.

Juga dihadiri Pegawai Khas Ahli Parlimen Pokok Sena, Abdul Halim Yaakob, Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) Nawa dan wakil pesawah dari kawasan Nawa, Budi dan Kampung Paya. – HARAKAHDAILY 8/4/2026

- Advertisement -