AS-Israel gagal jatuhkan Kerajaan Iran

Antara 10 sebab perang itu tidak capai matlamat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Usaha menjatuhkan Kerajaan Republik Islam Iran tidak berhasil, menjadi kegagalan utama Amerika Syarikat (AS) dan Israel apabila rakyat negara itu bersatu mempertahankan tanah air serta berdiri di belakang kepimpinan negara.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, perkara itu antara sepuluh sebab mengapa perang dilancarkan oleh Amerika Syarikat dan Israel ke atas Republik Islam Iran disifatkan gagal mencapai matlamat.
 
Menurutnya, serangan itu juga gagal menghancurkan teknologi nuklear Iran kerana negara berkenaan mempunyai kepakaran tenaga manusia, sekali gus membolehkan fasiliti yang rosak atau musnah dibangunkan semula.
 
“Gagal menghancurkan teknologi roket walaupun AS dan Israel mendakwa berjaya menghancurkan hampir keseluruhan pelancar roket Iran. Namun realitinya serangan Iran ke atas Israel dan kepentingan AS di rantau Timur Tengah tidak terhenti,” ujarnya dalam kenyataan.
 
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Buruk, Terengganu berkata, Amerika Syarikat turut gagal melindungi keseluruhan asetnya di negara-negara Arab.
 
Menurutnya, AS juga gagal membuka Teluk Hormuz apabila tidak berjaya memaksa masyarakat antarabangsa melalui Majlis Keselamatan selepas resolusinya diveto oleh China dan Rusia.
 
Katanya, Amerika Syarikat turut gagal melindungi Israel daripada dihujani roket yang datang bukan sahaja dari Iran, malah sekutunya di Lubnan dan Yaman.
 
Dalam pada itu beliau berkata, sekutu rapat AS khususnya negara-negara Eropah mengambil sikap tidak menyokong serangan ke atas Iran dan menganggap konflik itu sebagai perang AS semata-mata.
 
“Amerika Syarikat gagal merampas uranium yang diperkayakan apabila operasi di Isfahan dipatahkan oleh Iran,” tambah beliau yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu
 
Beliau berkata, AS juga gagal menghapuskan proksi Iran khususnya Hizbullah di Lubnan walaupun menerima tamparan hebat susulan kematian pemimpin utamanya, Hassan Nasrullah.
 
Katanya lagi, Amerika Syarikat malah gagal meyakinkan rakyatnya sendiri bahawa peperangan itu demi kepentingan negara, sebaliknya berlaku kebangkitan rakyat termasuk dalam kalangan Parti Republikan yang menegaskan, konflik berkenaan demi kepentingan Israel.
 
Terbaharu, media melaporkan, Amerika Syarikat dan Iran bersetuju melaksanakan gencatan senjata selama dua minggu susulan campur tangan diplomatik saat akhir yang dipimpin Pakistan. – HARAKAHDAILY 8/4/2026

- Advertisement -
- Advertisement -