
UNDANG-undang hukuman gantung sampai mati ke atas tahanan Palestin di penjara Israel telah diluluskan Knesset (Parlimen Israel) pada 31 Mac 2026.
Antara figura penting yang berada dalam senarai menunggu untuk dihukum gantung oleh rejim Zionis ialah Marwan Barghouti, Dr Hussam Abu Safiya, Ahmad Saadat dan Abdullah Barghouti, selain ramai lagi.
Abdullah Barghouti
Abdullah Barghouti ditahan sejak 5 Mac 2003 selepas operasi risikan yang panjang oleh rejim Zionis.
Beliau dikenakan hukuman paling lama dalam sejarah iaitu 67 kali penjara seumur hidup ditambah 5,200 tahun.
Sepanjang tempoh tahanan, beliau menghabiskan masa bertahun-tahun dalam penjara bersendirian, namun menukar pengasingan itu sebagai satu bentuk perjuangan serta mengarang buku Prince of the Shadow.
Dr Hussam Abu Safiya
Dr Hussam Abu Safiya merupakan pengarah dan pakar pediatrik di Hospital Kamal Adwan.
Beliau tercedera apabila terkena serpihan bom yang dijatuhkan oleh rejim Zionis ke atas hospital tempat beliau bekerja.
Beliau kemudian diculik oleh rejim Zionis dan dimasukkan ke dalam penjara Sde Teiman sejak 2024.
Ahmad Saadat
Ahmad Saadat ialah Setiausaha Agung Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin (PFLP).
Beliau berada dalam tahanan sejak 2006 dan dikenakan hukuman penjara selama 30 tahun.
Sepanjang tempoh tersebut, beliau mengharungi hukuman dalam penjara bersendirian dan menjadikan sel itu sebagai ruang intelektual dengan mengarang buku Echo of the Chains.
Marwan Barghouti
Marwan Barghouti pertama kali ditahan pada usia 17 tahun sebelum ditahan kali kedua pada 2002 ketika berumur 43 tahun.
Beliau dikenakan hukuman lima kali penjara seumur hidup berserta tambahan 40 tahun, menjadikan tempoh keseluruhan penjara sebanyak 535 tahun.
Beliau dikenali sebagai ‘Mandela of Palestine’ berikutan popularitinya dalam kalangan masyarakat Palestin. – HARAKAHDAILY 8/4/2026











