
Soalan:
Ada orang berkata bahawa bermusafir pergi ke sebuah negeri atau tempat bertujuan ziarah kubur Nabi-Nabi atau kubur orang-orang solih di situ adalah perbuatan bid’ah dan haram kerana Nabi melarang musafir melainkan pergi ke tiga buah masjid yaitu masjid Mekah dan masjid Madinah dan masjid Palestin. Adakah perkataannya itu benar?
Jawapan:
Terdahulu hendaklah diketahui sungguhnya ziarah kubur itu adalah amalan yang disuruh oleh syarak.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Nabi sollallahu alaihi wasallam bersabda:
فَزُورُوا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الْمَوْتَ
Ertinya: “Maka ziarahlah kamu sekalian akan kuburan kerana sungguhnya ziarah kuburan itu mengingatkan akan kematian.” (Hadis Imam Muslim)
Dan diriwayatkan daripada Sayyidina Ali r.a. Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda:
فَزُورُوهَا فَإِنَّهَا تُذَكِّرُكُمِ الْآخِرَةَ
Ertinya: “Maka ziarahlah oleh kamu sekalian akan kubur kerana sungguhnya ziarah kubur itu akan mengingatkan kamu sekalian akan negeri akhirat.” (Hadis riwayat Ahmad)
Dalam hadis-hadis yang menyuruh ziarah kubur itu tidak ada dikaitkan dengan tempat atau negeri yang tertentu sama ada dekat atau jauh.
Oleh kerana itu perintah ziarah kubur itu mencakupi kubur yang dekat dan kubur yang jauh sekalipun jauhnya sampai beribu batu.
Maka jika seorang itu membuat perjalanan yang jauh misalnya untuk ziarah kubur para Nabi a.s. atau kubur para solehin maka hukumnya adalah harus dan ziarahnya itu mendapat pahala di sisi Allah Taala.
Sungguhnya ada sebuah hadis diriwayatkan daripada Abu Said Al-Khudri r.a.:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لَا تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلَاثَةِ مَسَاجِدَ: مَسْجِدِ الْحَرَامِ، وَمَسْجِدِي، وَمَسْجِدِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ
Ertinya: “Sungguhnya Nabi sollallahu alaihi wasallam bersabda: Tiada dibuat persiapan bagi berjalan melainkan kepada tiga masjid iaitu Masjid Al-Haram dan Masjid aku ini dan Masjid Baitil Maqdis.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Berkata ulamak hadis ini bukan bermakna melarang melakukan perjalanan jauh melainkan kerana pergi kepada tiga buah masjid itu sahaja akan tetapi maknanya siapa yang berjalan jauh ke masjid yang selain tiga masjid itu, maka dia tidak mendapat kelebihan suatu masjid atas suatu masjid yang lain kerana semua masjid di bumi ini sama sahaja kelebihannya melainkan Masjid Al-Haram dan Masjid Nabawi dan Masjid Al-Aqsa di Pelestin.
Berkata Imam Nawawi:
ومعناه لا فضيلة في شد الرحال إلى مسجد غير هذه المساجد الثلاثة ونقله عن جمهور العلماء
Ertinya: “Dan maknanya itu ialah tiada ada kelebihan pada menyediakan bekal untuk bermusafir kepada masjid selain masjid yang tiga ini. Dan telah menaqalnya daripada jumhur ulamak.”
Berkata Imam Al-Iraqi:
من أحسن محامل الحديث أن المراد منه حكم المساجد فقط؛ فإنه لا تُشَدُّ الرحال إلى مسجد من المساجد غير هذه الثلاثة، وأما قصد غير المساجد: من الرحلة لطلب العلم، وزيارة الصالحين والإخوان، والتجارة، والتَّنَزُّه، ونحو ذلك، فليس داخلًا فيه،
Ertinya: “Setengah dari cara sangat elok menanggung hadis ini ialah bahawasannya yang dikehendaki daripada hadis ini ialah hukum segala masjid sahaja maka sungguhnya tiada disediakan bekal untuk perjalanan kepada sebuah masjid dari masjid yang selain masjid yang tiga ini. Dan adapun bertujuan selain kepada masjid seperti berjalan kerana menuntut ilmu dan menziarahi orang-orang soleh dan saudara mara dan kerana berniaga dan melihat negeri orang dan seumpama yang demikian itu maka tiada masuk ia dalam larangan hadis tersebut.”
Berkata Mufti Mesir Dr Ali Juma’ah:
دعوى أنَّ نية السفر إلى زيارة قبور الأنبياء والصالحين مثل نبينا محمد صلى الله عليه وآله وسلم وغيره بدعة، وأنَّ هذه زيارة غير شرعية، كلامٌ مبتدع ليس عليه دليل صحيح، ولا يؤيده معقول صريح، بل هو مذهب خالف به صاحبه ما تتابعت عليه الأمة سلفًا وخلفًا من تعظيم النبي المصطفى صلى الله عليه وآله وسلم وأن حرمته في حياته البرزخية كحرمته في حياته الدنيوية؛ ذلك أن زيارة القبور مشروعة باتفاق الأئمة؛ فهي مستحبة باتفاق العلماء، وإنما كرهها مَن كرهها للنساء لرقة قلوبهن وعدم قدرتهن على الصبر
وإذا كانت زيارة القبور مشروعة فإنَّ شدّ الرحال إليها بالسفر إلى أماكنها مشروع أيضًا؛ لأن وسيلة المشروع مشروعة، وشد الرحال كناية عن السفر والانتقال، والسفر في نفسه ليس عبادة ولا عملًا مقصودًا لذاته في أداء العبادات، وقد اتفق علماء الأصول على أن الوسائل لها أحكام المقاصد؛ فإذا كان الحج واجبًا فشد الرحال للحج واجب، وإن كانت زيارة قبر النبي صلى الله عليه وآله وسلم وقبور الصالحين والأقارب وعموم المسلمين مستحبة فيتعين أن يكون شد الرحال لزيارتهم مستحبًّا
وعليه: فإن شد الرحال لزيارة قبور الأنبياء والصالحين والأقارب مستحب؛ لأنه الوسيلة الوحيدة لتحصيل المستحب وهو الزيارة، والقول بأنه حرام قول باطل لا يُعوَّل عليه ولا يُلتفَتُ إليه.
دار الإفتاء المصرية
Ertinya: “Dakwaan kononnya berniat untuk bermusafir kerana ziarah kubur para Nabi a.s. dan kubur orang-orang soleh seumpama kubur Nabi kita Muhammad sollallahu alaihi wasallam dan lainnya sebagai bida’ah dan tuduhan bahawasanya ziarah seperti itu tidak disyariatkan ialah perkataan ahli bida’ah yang tiada atasnya dalil yang sahih dan tiada yang menyokongnya oleh penerimaan aqal yang terang bahkan ialah mazhab yang menyalahi dengannya akan tuannya barang yang mengikut atasnya oleh sekalian umat dahulu mahupun sekarang daripada membesarkan dan memuliakan Nabi sollallahu alaihi wasallam dan sungguhnya menghormati baginda ketika hidupnya di alam barzakh adalah menyamai dengan menghormatinya ketika hidupnya di dalam dunia. Yang demikian itu sungguhnya ziarah kubur itu disyariatkan dengan sepakat sekalian imam. Maka ziarah kubur itu disunatkan dengan sepakat ulamak.
Dan hanyalah memakruhkan oleh mereka yang memakruhkannya kepada wanita kerana lembut hati mereka dan tiada mampu kaum wanita atas sabar. Dan apabila adalah ziarah kubur itu disyariatkan maka persiapan dalam menyediakan bekal perjalanan kepada sekalian tempatnya juga disyariatkan kerana yang menyampaikan kepada suatu yang disyariatkan itu juga disyariatkan. Bermula membuat perbekalan dan persiapan itu ialah kinayah kepada berjalan dan berpindah. Bermula perjalanan itu sendiri bukanlah satu ibadah dan bukan pula amalan yang dimaksudkan dengan zatnya pada menunaikan segala ibadat. Dan sungguh telah sepakat olih ulamak usul atas bahawasanya segala wasilah itu ada baginya hukum segala tujuan. Maka apabila adalah haji itu wajib ia maka menyiapkan bekal bagi haji juga menjadi wajib dan jika adalah ziarah kubur Nabi solallahu alaihi wasallam dan kubur orang-orang soleh dan kubur saudara mara dan sekalian orang Islam itu disunatkan maka tertentulah bahawa menyediakan bekal bagi perjalanan untuk ziarah mereka itu juga menjadi sunat hukumnya.
Dan atas inilah maka sungguhnya menyiapkan bekalan bagi ziarah kubur sekalian Nabi a.s. dan kubur sekalian orang soleh dan sekalian sanak saudara itu adalah disunatkan kerana sungguhnya ia adalah jalan yang menyampaikan bagi berhasilnya perkara yang disunatkan iaitu ziarah.
Dan perkataan yang mengatakan musafir kerana ziarah kubur itu haram adalah perkataan yang batil yang tidak diambil pakai dan tidak perlu diberi perhatian kepadanya.” (Majlis Fatwa Mesir)
Maka jadilah maksud hadis tersebut ialah tiada kelebihan membuat perjalanan kepada masjid yang selain Masjid Al-Haram dan Masjid Nabawi dan Masjid Al-Aqsa kerana masjid mana pun yang kamu pergi sama ada dekat atau jauh semuanya adalah sama kelebihannya di sisi syarak dan yang tidak sama kelebihannya hanyalah tiga buah masjid itu sahaja.
Pada riwayat Imam Ahmad Nabi sollallahu alaihi wasallam bersabda:
لَا يَنْبَغِي لِلْمَطِيِّ أَنْ تُشَدَّ رِحَالَهُ إلَى مَسْجِدٍ تُبْتَغَى فِيهِ الصَّلَاةُ غَيْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَالْمَسْجِدِ الْأَقْصَى، وَمَسْجِدِي هَذَا
Ertinya: “Tiada patut bagi orang yang bermusafir bahawa dia sediakan bekalnya berjalan kepada satu masjid yang dikehendaki akan solat padanya selain Masjidil Haram dan Masjid Al-Aqsa dan masjidku ini.”
Yakni kalau semata-mata mahu pergi bersolat maka solatlah di mana sahaja masjid selain masjid yang tiga itu maka semua kelebihan bersolat di dalamnya adalah sama melainkan bersolat dalam masjid yang tiga itu.
Akan tetapi jika perjalanan ke masjid yang selain tiga itu kerana tujuan menuntut ilmu misalnya atau ziarah kubur para Nabi a.s. dan kubur orang-orang soleh maka tiada masuk ia dalam larangan yang terdapat pada hadis ini.
Berkata Al-Hafiz Al-Imam Ibnu Hajar:
وَأَمَّا قَصْدُ غَيْرِ الْمَسَاجِدِ لِزِيَارَةِ صَالِحٍ أَوْ قَرِيبٍ أَوْ صَاحِبٍ أَوْ طَلَبِ عِلْمٍ أَوْ تِجَارَةٍ أَوْ نُزْهَةٍ فَلَا يَدْخُلُ فِي النَّهْيِ
Ertinya : “Dan adapun berjalan dengan tujuan selain sekalian masjid kerana tujuan ziarah orang soleh atau kaum kerabat atau sahabat atau menuntut ilmu atau kerana berniaga atau melihat-lihat maka tiada masuk perjalanan ini dalam larangan.” (Kitab Fathul Bari)
Berkata Dr Ali Juma’ah lagi:
وقد اتفق العلماء على هذا الفهم، حتى عدُّوا ما نُقِل عن ابن تيمية من تحريم شد الرحال لزيارة قبر سيدنا رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم شاذًّا مخالفًا للإجماع
Ertinya: “Dan sungguhnya telah sepakat oleh ulamak atas kefahaman ini sehingga membilang mereka itu apa yang diambil dari Ibnu Taimiyah iaitu mengharamkan buat persedian bagi musafir kerana ziarah kubur Rasulullah sollallahu alaihi wasallam adalah perkataan yang syaz yang menyalahi bagi ijmak.”
Kesimpulan
Hukum bermusafir kerana ziarah kubur para Nabi a.s. atau kubur para wali atau kubur orang-orang soleh adalah harus sebagaimana harus bermusafir kerana berniaga atau kerana menuntut ilmu atau makan angin.
Yang dimaksudkan dengan larangan musafir jauh melainkan kerana pergi ke tiga masjid iaitu Masjid Al-Haram dan Masjid Nabawi dan Masjid Al-Aqsa ialah musafir kerana mendapat kelebihan masjid kerana semua masjid di bumi ini selain masjid yang tiga itu adalah sama kelebihannya.
Harus ziarah ke masjid yang selain tiga masjid itu di mana sahaja di bumi ini.
Perkataan yang melarang musafir ziarah kubur Nabi sollallahu alaihi wasallam atau kubur Nabi-Nabi a.s. dan kubur orang soleh itu adalah perkataan yang batil.
Orang yang mengatakan musafir kerana ziarah kubur adalah bida’ah maka dia sebenarnya adalah ahli bida’ah.
Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 8/4/2026











