
KUALA LUMPUR: Jika isu integriti, salah guna kuasa dan dakwaan pengaruh mafia korporat tidak ditangani dengan bijaksana, situasi semasa berpotensi merebak ke ruang-ruang lain yang lebih sukar lagi untuk dikawal.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata demikian susulan insiden gangguan ketika Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyampaikan ucapan semalam.
Menurut beliau, penyelesaian sebenar bukan sekadar mengawal simptom seperti gangguan fizikal di program awam, tetapi menangani akar permasalahan dengan memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi.
“Ketelusan yang menyeluruh, siasatan yang benar-benar bebas termasuk terhadap isu pemilikan saham dan dakwaan mafia korporat. Serta keberanian politik untuk bertindak tanpa kompromi adalah kunci untuk meredakan ketegangan ini,” ujar beliau.
Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menegaskan, tanpa langkah tersebut, insiden sama seperti itu mungkin akan berulang lagi dalam bentuk lebih besar dan lebih sukar untuk dibendung.
Dalam pada itu, beliau bagaimanapun berkata, insiden pada program Wacana Ilmiah Perdana diadakan di Pusat Dagangan Putra (PWC) Kuala Lumpur itu adalah satu perkara yang tidak boleh dinormalisasikan.
“Ia bukan tempatnya dan bukan juga caranya untuk menyampaikan bantahan di ruang program rasmi sebegitu. Namun, perlu juga dinyatakan bahawa itulah manifestasi kemarahan rakyat yang sedang meluap-luap sekarang.
“(Ia) Terutama berkait isu integriti dan moral khususnya badan yang sepatutnya menjadi pengawal kepada integriti iaitu SPRM,” ujarnya menyifatkan insiden itu bukan sekadar aksi spontan, tetapi mencerminkan keresahan lebih mendalam kalangan rakyat terhadap isu masih belum terjawab dengan tuntas di mata awam.
Kata Ahmad Fadhli lagi, kemarahan dizahirkan itu tidak boleh dipisahkan daripada rentetan isu yang membelenggu institusi berkenaan, termasuk dakwaan pemilikan saham yang melibatkan Tan Sri Azam Baki sendiri.
“Serta pendedahan berkaitan kewujudan ‘mafia korporat’ yang didakwa mempunyai jaringan dan pengaruh tertentu dalam sistem penguatkuasaan.
“Lebih pelik, kerajaan dilihat masih berdolak-dalik tanpa sebarang tindakan segera walaupun Tan Sri Azam sendiri mengesahkan bahawa ‘mafia korporat’ itu wujud.
“Ini belum mengambil kira pendedahan oleh ahli perniagaan, Victor Chin yang turut membangkitkan persoalan serius terhadap integriti, termasuk kaitan yang menyentuh parti teras pentadbiran kerajaan hari ini,” katanya.
Beliau berkata, dalam keadaan itu rakyat melihat seolah-olah isu besar hanya dijawab dengan kenyataan, bukan tindakan tegas yang mampu mengembalikan keyakinan.
Menurutnya, tahap kepercayaan rakyat terhadap kerajaan ketika ini berada dalam keadaan semakin rapuh apabila isu integriti, salah guna kuasa dan dakwaan pengaruh korporat tidak ditangani dengan ketegasan sewajarnya.
Kata beliau, dalam keadaan itu, sebarang insiden seperti gangguan di program rasmi menjadi simbol kepada rasa kecewa yang terkumpul bukan sekadar terhadap individu, tetapi terhadap keseluruhan sistem pentadbiran negara.
“Walaupun kita menolak pendekatan gangguan dalam program rasmi sebagai kaedah menyuarakan bantahan, kita tidak boleh menafikan punca yang mendorongnya.
“Kemarahan rakyat tidak muncul dalam vakum; ia terbina daripada persepsi, pengalaman dan rasa ketidakpuasan yang berpanjangan,” katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan, dua individu mengganggu ucapan Tan Sri Azam Baki pada program Wacana Ilmiah Perdana di PWC Kuala Lumpur, diiring keluar oleh petugas keselamatan.
Gangguan berlaku kira-kira enam minit selepas ucapan bermula, dengan salah seorang membawa sepanduk mendesak penahanan Azam berkaitan isu pemilikan saham sebelum ini.
Azam tidak terjejas dan meneruskan ucapannya, manakala kumpulan Mandiri mengesahkan individu terbabit ialah Presiden Liga Rakyat Demokratik, Hamdin Nordin dan Ahsanul Akmal serta menggesa mereka dibebaskan segera. – HARAKAHDAILY 8/4/2026











