
KUALA LUMPUR: Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda PAS Malaysia menawarkan khidmat guaman percuma kepada keluarga mangsa kemalangan maut dilanggar pemandu mabuk dalam tragedi baru-baru ini.
Pengarah JUHAM, Mohd Faizi Che Abu berkata, pembelaan itu termasuk memulakan tindakan sivil bagi menuntut pampasan tanggungan kerana keluarga tersebut bergantung kepada pendapatan mangsa.
Beliau memaklumkan, perkara tersebut akan difailkan dalam masa terdekat di mana ‘dependency claim’ tersebut akan melibatkan tuntutan dibuat ke atas atas pihak tertuduh dan syarikat insurans yang berkaitan
Dalam tragedi tersebut, Amirul Hafiz Omar, 33, terbunuh setelah motosikal ditunggangnya dirempuh pemandu kereta, Saktygaanapathy Ravichandran, 28, yang disyaki berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah di Jalan Raya Barat, Klang, 29 Mac lalu.
“Kita juga menawarkan perkhidmatan menguruskan harta pusaka secara percuma serta membantu tuntutan hibah sekiranya ada, bagi meringankan beban kewangan keluarga si mati,” katanya yang sebelum ini menghadiri prosiding mahkamah berkaitan.
Menurut beliau, selain tindakan sivil, pihaknya turut memohon untuk menjadi peguam pemerhati dalam prosiding jenayah bagi memastikan segala fakta penting daripada pihak keluarga dapat disalurkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Tambahnya, sekiranya tertuduh didapati bersalah kelak, keluarga mangsa juga berpeluang mengemukakan kenyataan kesan ke atas mangsa (victim impact statement) sebelum hukuman dijatuhkan, bagi menjelaskan kesan besar tragedi tersebut terhadap kehidupan mereka.
Dalam perkembangan berkaitan mahkamah telah memulakan prosiding dengan pertuduhan berat iaitu bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap tertuduh kerana memandu yang menyebabkan kematian, selain mengambil dadah.
Mohd Faizi berkata, walaupun kes tersebut melibatkan pemanduan, pertuduhan bunuh boleh dikenakan berdasarkan tafsiran perundangan lebih luas, termasuk tindakan secara lazimnya boleh menyebabkan kematian walaupun tanpa serangan fizikal langsung.
“Dalam undang-undang, bunuh tidak semestinya melibatkan serangan fizikal seperti menikam atau memukul. Perbuatan yang membawa kepada kematian dengan niat atau kebarangkalian tinggi juga boleh dikategorikan sebagai bunuh,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa keputusan untuk mengenakan pertuduhan tersebut dibuat berdasarkan penilaian menyeluruh oleh pihak pendakwaan terhadap bukti yang ada.
Mengulas lanjut, beliau menyeru agar semua pihak menghormati proses mahkamah yang sedang berjalan dan memberi ruang kepada pihak pendakwaan mengemukakan saksi serta bukti termasuk dokumen dan rakaman video.
Dalam masa sama, beliau menyifatkan pertuduhan bunuh yang dikenakan memberi sedikit kelegaan kepada keluarga mangsa kerana ia mencerminkan keseriusan kes tersebut.
Namun begitu ulas beliau, tindakan undang-undang adalah bersifat reaktif iaitu berlaku selepas kejadian, di mana langkah lebih proaktif iaitu berbentuk pencegahan perlu diambil oleh kerajaan bagi mengelak insiden sama berulang.
Antara langkah yang dicadangkan termasuk mengetatkan kawalan penjualan arak secara terbuka serta memperkukuh pematuhan undang-undang berkaitan.
“Kalau kita lihat kes ini berlaku pada jam 11 pagi, ini menimbulkan persoalan besar bagaimana keadaan sebegitu boleh terjadi. Isu ini perlu ditangani secara menyeluruh oleh kerajaan dan masyarakat,” katanya.
Beliau berharap langkah pencegahan yang lebih tegas dapat dilaksanakan segera bagi memastikan tragedi sama tidak berulang pada masa hadapan. – HARAKAHDAILY 8/4/2026











