Halal: Jaga agama atau kepentingan korporat?

- Advertisement -

SHAH ALAM: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memadam hantaran senarai syarikat yang ditarik sijil halal dan mempertahankan tindakan itu seolah-olah wujud konsensus peringkat tertinggi dalam mendahulukan kepentingan korporat berbanding melindungi akidah pengguna Islam.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Ustaz Dr Aubidullah Fahim Ibrahim berkata, tindakan itu bukan sekadar kesilapan komunikasi, sebaliknya menunjukkan keutamaan yang tersasar dalam pengurusan isu halal.

- Advertisement -

Beliau menyifatkan penjelasan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli sebagai menghina kecerdikan umat Islam di negara ini, selain mempersoalkan peranan kementerian agama dan JAKIM sekiranya fungsi asal sebagai ‘benteng halal’ telah dikompromi.

“Apa gunanya sebuah Kementerian Agama dan institusi sebesar JAKIM jika fungsi asalnya sebagai benteng halal telah dikompromi Alasan-alasan yang diberikan untuk menghalalkan tindakan memadam maklumat pendedahan tersebut adalah sangat lemah,” bidasnya.

Menurut Aubidullah, rakyat kini semakin sedar bahawa tindakan itu didakwa dilakukan secara terancang, namun kesal apabila pihak bertanggungjawab dilihat memihak kepada kepentingan tertentu yang merugikan umat Islam.

“Jika tidak, masakan seorang Timbalan Menteri begitu beria-ia tampil menjadi peguam bela kepada tindakan yang jelas merugikan hak maklumat orang Islam? Kami ingin bertanya kepada Senator Marhamah Rosli, di manakah prinsip ‘Hifz ad-Din’ (menjaga agama) dalam tindakan ini?” soalnya.

Dalam pada itu, beliau juga menyifatkan kementerian berkenaan berdepan krisis integriti sekiranya lebih mengutamakan reputasi syarikat yang melanggar prosedur berbanding keselamatan pemakanan umat Islam.

“Apabila kementerian lebih bimbang tentang reputasi syarikat yang melanggar prosedur berbanding keselamatan pemakanan jutaan umat Islam di negara ini, maka kementerian ini sebenarnya sedang mengalami krisis integriti yang parah,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa syarikat yang ditarik balik sijil halal telah gagal mematuhi piawaian syarak ditetapkan, sekali gus tindakan memadam hantaran tersebut seolah-olah memberi ruang kepada syarikat terbabit untuk terus beroperasi dalam ‘zon kelabu’.

Keadaan itu bidas Dr Aubidullah telah menimbulkan keraguan (syubhah) dalam kalangan pengguna Islam, sehubungan itu beliau menuntut agar senarai syarikat berkenaan disiarkan semula secara terbuka tanpa sebarang perlindungan.

“Kami tegaskan supaya Menteri jangan lindungi pesalah. Jangan jadikan institusi agama sebagai perisai untuk melindungi kepentingan ekonomi pihak tertentu.

“Ingatlah, amanah yang digalas adalah untuk menjaga agama, bukan menjadi pelindung kepada mereka yang memperlekehkan standard halal negara,” katanya.

Terdahulu, satu hantaran di platform media sosial rasmi yang memaparkan senarai syarikat yang telah ditarik balik sijil halal oleh JAKIM telah dipadam, sekali gus mencetuskan perhatian dan kebimbangan dalam kalangan pengguna Islam.

Langkah pemadaman tersebut mengundang pelbagai reaksi, khususnya berkaitan hak pengguna untuk mendapatkan maklumat mengenai status halal sesuatu produk, selain menimbulkan persoalan mengenai tahap ketelusan pihak berkuasa dalam menguruskan pensijilan halal negara. – HARAKAHDAILY 8/4/2026

- Advertisement -