
ALOR SETAR: Kenaikan harga bahan api mula memberi tekanan hebat kepada kehidupan rakyat, termasuk golongan mahasiswa daripada keluarga berpendapatan rendah di mana kini bergelut dengan kos sara hidup yang kian mencengkam.
Pengerusi SiswaPAS Kedah, Muhammad Irfan Sufi Mohd Zamzuri berkata, kenaikan tersebut merupakan tamparan hebat kepada mahasiswa ketika rakyat masih belum pulih sepenuhnya daripada tekanan ekonomi berpanjangan.
Beliau menegaskan, kesan kenaikan harga minyak bukan sekadar di pam minyak semata-mata, malah mencetuskan kesan rantaian terhadap tambang pengangkutan, harga makanan, kos penghantaran, sewa kediaman, dan barangan keperluan harian.
“Rakyat seolah-olah dipaksa untuk terus menyesuaikan diri dengan keadaan yang semakin sempit, sedangkan pendapatan majoriti tidak meningkat seiring dengan kos hidup yang semakin menjerut,” tegas beliau pada kenyataannya, di sini.
Menurut Muhammad Irfan, golongan mahasiswa merupakan antara kelompok yang paling awal menerima kesan langsung daripada kenaikan ini.
Katanya, ramai dari kalangan mahasiswa hidup dalam keadaan kewangan sangat terbatas, bergantung kepada pinjaman, bantuan keluarga, biasiswa, malah ada melakukan kerja sambilan yang tidak seberapa pendapatannya.
“Apabila harga minyak naik, maka naiklah tambang bas, kos e-hailing, harga makanan kampus, kos ulang-alik dan perbelanjaan harian yang sebelum ini pun sudah sedia membebankan.
“Bagi yang belajar jauh dari kampung halaman, keadaan ini menjadi jauh lebih perit. Ada yang terpaksa berjimat secara melampau, mengurangkan makan, menangguhkan pembelian buku dan bahan pembelajaran,
“Bahkan ada yang terpaksa menghadkan pergerakan ke kelas, latihan industri atau program akademik kerana kekangan kewangan,” luah Muhammad Irfan lagi.
Isu itu katanya, bukan lagi kecil tetapi ia melibatkan kelangsungan hidup dan maruah pendidikan anak muda negara di mana lebih membimbangkan, ramai bukan sahaja menanggung beban sebagai pelajar, tetapi juga memikul keresahan keluarga di kampung.
“Saat ibu bapa bergelut dengan harga barang yang melonjak, mahasiswa juga menanggung tekanan emosi kerana memahami bahawa setiap ringgit yang dihantar dari rumah datang bersama pengorbanan yang besar,” katanya lagi.
Justeru beliau menegaskan, rakyat tidak boleh terus dijadikan mangsa kepada kelemahan pengurusan ekonomi dan kegagalan dasar yang tidak menyelami denyut nadi rakyat.
Walaupun tegasnya, faktor global sering dijadikan alasan, kerajaan tidak boleh bersembunyi di sebalik sentimen antarabangsa semata-mata tanpa membentangkan langkah perlindungan yang benar-benar berkesan kepada rakyat.
“Kerajaan mesti menunjukkan kebertanggungjawaban yang lebih jelas, telus dan berani dalam menangani isu ini. Sebarang pelarasan harga yang memberi kesan besar kepada rakyat perlu disertai dengan penjelasan yang jujur, mekanisme mitigasi yang konkrit.
“(Serta) pelan jangka pendek dan jangka panjang yang benar-benar mampu mengurangkan beban hidup rakyat, khususnya golongan mahasiswa dan keluarga berpendapatan rendah,” tambah beliau.
Berikutan itu, pihaknya mencadangkan beberapa perkara bagi membantu golongan mahasiswa antaranya, ‘Pas Mobiliti Mahasiswa’, ‘Dana Kecemasan Kos Hidup Mahasiswa’ dan ‘Harga Siling Menu Mahasiswa’ di kawasan kampus.
Termasuk juga katanya, ‘Insentif Sewa Kediaman Mahasiswa Luar Kampus’ dan wujudkan ‘Zon Perlindungan Harga Mahasiswa’ di sekitar Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
“Kerajaan perlu memperkenalkan satu bentuk pas subsidi pengangkutan khas untuk mahasiswa, sama ada bagi penggunaan bas, Keretapi Tanah Melayu (KTM), pengangkutan kampus atau e-hailing terpilih.
“Juga dana kecemasan segera yang boleh diakses oleh mahasiswa yang benar-benar terkesan khususnya untuk kos makan, sewa rumah atau lain-lain. Kerajaan melalui kerjasama dengan IPT dan operator makanan perlu menetapkan menu asas mahasiswa pada harga siling yang terkawal.
“Khususnya di kafeteria kampus dan premis sekitar institusi pengajian untuk mengelakkan mahasiswa menjadi mangsa kepada kenaikan harga makanan yang tidak terkawal,” hujahnya menjelaskan cadangan beliau.
Beliau juga mencadangkan agar dibina ‘Mekanisme Aduan Kos Hidup Mahasiswa Secara Terus’ bagi membolehkan mahasiswa melaporkan isu kenaikan harga makanan, sewa rumah, tambang tidak munasabah atau pencatutan di kawasan kampus
“Suara mahasiswa tidak hanya didengar ketika pilihan raya atau forum, tetapi mesti diterjemah dalam tindakan pentadbiran yang nyata. Isu kenaikan harga minyak juga merupakan isu kebajikan rakyat, isu kesejahteraan keluarga dan isu masa depan mahasiswa negara.
“Jika mahasiswa hari ini dipaksa belajar dalam keadaan lapar, resah dan terbeban, maka negara sedang membina masa depan yang rapuh untuk generasi akan datang,” tegasnya lagi.
Negara bidasnya, tidak boleh terus bergantung kepada langkah bersifat sementara dan reaktif semata-mata sebaliknya keberanian berpolitik, kecekapan pentadbiran serta keikhlasan dasar yang benar-benar berpihak kepada rakyat, bukan sekadar menjaga angka atau persepsi.
“Jangan hanya mahasiswa dipuji sebagai aset negara ketika musim ucapan, tetapi dibiarkan terkapai-kapai sendirian ketika kos hidup semakin menggila.
“Kami (SiswaPAS Kedah) akan terus berdiri teguh membawa suara mahasiswa dan rakyat, agar nasib mereka tidak terus dipinggirkan oleh dasar yang gagal memahami denyut kehidupan sebenar di lapangan,” tegas beliau lagi. – HARAKAHDAILY 8/4/2026











