
BALING: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berharap kaedah tabur terus kering (TTK) untuk penanaman padi musim ini ditangguhkan dahulu, walaupun menghadapi masalah air.
Kaedah yang disarankan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) itu kata beliau, berisiko menyebabkan berlakunya padi angin dan petani akan menanggung kerugian.
MADA sebelum ini memaklumkan akan melaksanakan penanaman padi kaedah TTK bagi musim 1/2026 di seluruh Kawasan Muda seluas 100,641 hektar, susulan paras empangan yang rendah dan cuaca panas berterusan.
Kaedah itu juga dikatakan bertujuan mengelak jadual penanaman terjejas serta memastikan kelangsungan bekalan beras negara.
“Harap boleh tunggu sekejap sampai hujan turun, bekalan air pulih dan barulah mula buat bendang. Ini pandangan sayalah. Tapi kalau betul-betul nak buat tabur kering, buatlah padi darat, macam saya pernah buat dulu, padi huma,” ujar Sanusi lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan Majlis Ketua Kampung (MKK) 2026, di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), di sini semalam.
Dalam pada itu, beliau juga mengharapkan tindakan segera kerajaan memberi subsidi kepada jentera membajak, mesin padi, mesin menuai, traktor dan lain-lain yang terlibat dengan industri padi, berikutan kenaikan harga diesel begitu ketara.
Kata beliau, sekiranya perkara itu tidak dipertimbangkan segera oleh pihak kerajaan, dibimbangi industri padi akan hancur dan tidak mampu diusahakan lagi.
“Kos akan menjadi terlalu tinggi, kalau tak dapat subsidi, bimbang ia tak mampu diteruskan lagi. Harap sangat-sangat tindakan segera dari Kerajaan Persekutuan berkenaan hal ini,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 8/4/2026




















