Umno tak berfungsi, diheret kegagalan Kerajaan Madani

Dilihat hanya kenyang dengan jawatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Umno dilihat hanya berdiam diri dan seolah-olah cuba bersembunyi di sebalik tekanan kos sara hidup dihadapi rakyat yang kian memuncak kesan kenaikan mendadak harga runcit petrol dan diesel.

Exco Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohamad Kamal Mohamed berkata, semua perkara itu sekali gus menzahirkan krisis keyakinan terhadap Kerajaan Madani, ditambah lambakan isu integriti yang semakin membarah.

- Advertisement -

“Dalam keadaan ini, Umno hanya berdiam diri seolah-olah cuba bersembunyi di sebalik tekanan rakyat yang kian memuncak. Tiada jalan keluar atau penyelesaian tuntas dikemukakan, sebaliknya mereka sekadar menjadi pak angguk dan pak turut dalam kerajaan,” bidasnya.

Beliau turut mempersoalkan peranan Umno dalam kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini didakwa bersifat ‘unik dan strategik’ untuk menjamin kestabilan politik negara.

Bagaimanapun sehingga kini kata beliau, tiada tindakan yang menunjukkan keunikan atau strategi tersebut, terutamanya ketika negara menghadapi krisis global.

“Adakah peranan unik dan strategik itu hanya untuk memastikan kepentingan Umno dalam politik nasional terus terjamin semata-mata?Bahkan kemasukan individu tertentu dalam parti itu semula gagal mengubah naratif yang cuba dimainkan oleh Umno dalam Kerajaan Madani,” tempelaknya.

Mohamad Kamal berkata, Umno kini lebih rancak menyalahkan pembangkang, sedangkan kuasa yang dipegang mereka dibazirkan untuk kepentingan tertentu.

Beliau sehubungan itu menegaskan bahawa Umno tidak lagi boleh diharapkan untuk membela kebajikan rakyat atau membawa aspirasi masyarakat Melayu-Islam.

“Segalanya sudah berkubur dalam Umno, kenyang dengan jawatan dan kuasa yang tidak membawa apa-apa kebaikan.

“Tindakan mereka yang berdiam diri sambil memerhati pimpinan PKR dan DAP seolah-olah melondehkan wajah sebenar pimpinan PH yang gagal dan tidak kompeten dalam mentadbir rakyat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa persoalan rakyat mengenai niat Umno menyertai Kerajaan Madani mempunyai asasnya.

“Adakah Umno menyertai kerajaan semata-mata untuk menyelamatkan diri dengan menggugurkan 47 kes yang membelenggu presiden dan menutupi skandal lain, sambil menggunakan kuasa untuk memperkukuh kedudukan menuju PRU-16?

“Rakyat kini telah nampak jelas wajah sebenar Umno mahupun PH keseluruhannya. Segala reformasi hanyalah retorik kosong. Umno adalah sebahagian daripada kegagalan yang dihadapi oleh kerajaan,” katanya.

Terdahulu, harga runcit petrol dan diesel telah mencatat kenaikan berlipat kali ganda sejak beberapa bulan kebelakangan ini, menambah tekanan terhadap kos sara hidup rakyat.

Kenaikan ini memberi kesan langsung kepada kos pengangkutan, logistik dan harga barangan keperluan harian.

Kerajaan Madani, yang dibentuk melalui gabungan PKR, DAP dan Umno melalui Kerajaan Perpaduan, sebelum ini berjanji membawa kestabilan politik dan reformasi pentadbiran.

Umno mengatakan penyertaan mereka dalam kerajaan adalah untuk peranan ‘unik dan strategik’ bagi memastikan kestabilan politik negara.

Namun, kritikan kini tertumpu kepada keberkesanan Umno dalam memainkan peranan tersebut, terutama dalam menangani isu kos hidup, krisis integriti dan kestabilan ekonomi. – HARAKAHDAILY 8/4/2026

- Advertisement -