Anwar cuba nak lengah prosedur mahkamah lagi?

Berkaitan kesnya terhadap Yusoff Rawther

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali menegaskan bahawa pihaknya akan membantah permohonan di bawah Lampiran 186 yang difailkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Menurut Rafique, permohonan tersebut dikemukakan pada 31 Mac 2026 dan melibatkan tiga soalan utama yang dikatakan ingin diselesaikan Anwar Ibrahim sebelum perbicaraan berlangsung.

- Advertisement -

“Dalam Lampiran (186) ini apa yang dipohon antara lainnya adalah Dato’ Seri Anwar Ibrahim mahukan tiga soalan ditanyakan. Dia nak dispose of tiga isu dulu.

“Dia nak kata bahawa perkara yang kita complain yang Yusoff Rawther complain yang adukan, yang nak bicarakan iaitu kononnya dia kata pada 2 Oktober 2018, Yusoff Rawther tidak berada di kediamannya.

“Maka oleh kerana itu adalah mustahil untuk alegasi atau dakwaan Yusoff Rawther itu berlaku pada 2 Oktober 2018. Jadi dia nak tanya tiga soalan asas ini dan kalau boleh dia nak buang terus kes ini tanpa perlu melalui perbicaraan.

“Juga dalam permohonan ini lampiran 186 Dato’ Seri Anwar Ibrahim nak jalankan persoalan-persoalan ini atas keterangan afidavit tanpa dipanggil saksi.

“Atau kalau nak panggil saksi dia nak adakan ‘behind camera’. Maknanya tak boleh reporter datang, tak boleh reporter lihat, tak boleh rakyat Malaysia tahu,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Rafique menegaskan, pihaknya akan memfailkan afidavit bantahan sebelum atau pada 3 Mei 2026, dan dijangka hadir semula ke mahkamah pada 4 Mei 2026.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PEJUANG menyifatkan permohonan tersebut sebagai satu cara untuk melengahkan proses perbicaraan.

“Kita akan menyatakan bahawa ini adalah satu lagi cara untuk sebenarnya melewat-lewatkan proceding. Kalau rakyat Malaysia yang lain arahan adalah jalan bicara secepat mungkin.

“Mahkamah ni adalah mahkamah untuk yang seharusnya terbuka kepada semua. Ini bukan kes serangan seksual kanak-kanak atau kanak-kanak bawah umur. Ini merupakan individu-individu rakyat Malaysia.

“Salah seorangnya adalah individu yang mempunyai jawatan tertinggi peringkat awam dalam negara dan rakyat mesti tahu apa yang berlaku,” tegas beliau.

Imbasan lengahan

Beliau turut mengimbas kembali kronologi kes itu, bermula dengan tindakan saman Yusoff Rawther terhadap Anwar Ibrahim pada Julai 2021, sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri.

Kes itu menurutnya, berkaitan dakwaan yang dikatakan berlaku pada 2 Oktober 2018.

Mahkamah pada mulanya ulas beliau, menetapkan perbicaraan pada 17 hingga 19 Jun dan 23 hingga 25 Jun 2025, di mana ketika Anwar sudah menjadi Perdana Menteri ke-10.

Namun jelas beliau, dua minggu sebelum tarikh tersebut, Anwar Ibrahim menukar peguam dan memfailkan permohonan rujukan lapan soalan undang-undang di Mahkamah Persekutuan berkaitan kekebalan atau imuniti.

Permohonan itu menurut Rafique, ditolak pada Lampiran 145 dengan kos RM20,000.

“Tidak berpuas hati Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengarahkan peguam cara tersebut untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan dan menangguhkan perjalanan perbicaraan yang sepatutnya pada Jun 2025.

“Maknanya kes ini masih lagi belum dibicarakan, belum dipanggil saksi, belum jalan perbicaraan. Register benda itu from Julai 2021 sehingga sekarang dah nak masuk Julai 2026. Lima tahun masih lagi belum berjalan kes ini,” imbas beliau.

Beliau menambah, pada Mac 2026, secara tiba-tiba Dato’ Seri Anwar Ibrahim lagi sekali menukar peguam cara dan peguam cara yang nak jalankan rayuan terhadap lapan soalan undang-undang tersebut telah bersetuju untuk tarik balik.

“Maknanya setelah biar, kita semua tunggu selama lebih kurang 9 bulan, rayuan tersebut tidak berjalan.

“Rayuan tersebut telah ditarik balik dan mahkamah rayuan telah berikan arahan bayar kos RM50,000 kepada Yusoff Rawther. Kos telah pun dibayar pada hari Jumaat lepas,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/4/2026

- Advertisement -