Pusat perlu tunai 40% hasil negeri, hak rakyat Sabah

Hendri Hamsah
- Advertisement -

KOTA KINABALU: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Aliakbar Gulasan berhubung isu tuntutan 40 peratus hasil negeri yang kembali menjadi perhatian susulan perkembangan terkini.

- Advertisement -

Ketuanya, Hendri Hamsah berkata, pendirian yang disuarakan oleh Dr Aliakbar itu mencerminkan keprihatinan terhadap hak negeri Sabah yang sekian lama menjadi perbahasan dalam hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

Menurutnya, keputusan tersebut bukan sahaja mengecewakan, malah menimbulkan persoalan terhadap kesungguhan pihak kerajaan dalam menunaikan hak yang telah termaktub untuk negeri Sabah.

“Dewan Pemuda PAS Sabah menyokong kenyataan Pesuruhjaya PAS Sabah yang menuntut penjelasan telus daripada Kerajaan Persekutuan berhubung langkah menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan hak Sabah dalam isu hasil negeri.

“Sebarang tindakan yang diambil oleh kerajaan perlu memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat Sabah serta memastikan hak negeri yang termaktub dalam kerangka Perlembagaan dihormati,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa isu berkaitan rayuan di mahkamah tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melengah-lengahkan pelaksanaan hak bagi tahun semasa.

Katanya, penangguhan tersebut secara langsung memberi kesan kepada keupayaan kerajaan negeri untuk merancang dan melaksanakan pembangunan yang lebih menyeluruh demi kesejahteraan rakyat.

“Dewan Pemuda PAS Sabah menyeru agar Kerajaan Persekutuan memberikan penjelasan yang menyeluruh mengenai hala tuju sebenar isu ini serta memastikan penyelesaian yang dicapai kelak benar-benar memberi manfaat kepada rakyat Sabah.

Tambahnya lagi, Pemuda PAS negeri akan terus memainkan peranan sebagai suara anak muda dan sebahagian daripada semak dan imbang yang konstruktif dalam memastikan setiap dasar kerajaan berpaksikan prinsip keadilan, ketelusan serta tanggungjawab kepada rakyat. – HARAKAHDAILY 8/4/2026

- Advertisement -