
SHAH ALAM: Kegagalan bersikap telus dalam kes melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, disifatkan sebagai isyarat buruk kepada integriti negara.
Naib Ketua Pemuda PAS Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak boleh berselindung di sebalik penjawat awam dan menjadikan mereka sebagai ‘perisai politik’ kepada kerajaan.
“Di saat rakyat ditekan dengan kos sara hidup dan pelbagai isu ekonomi, mereka mengharapkan sebuah kerajaan yang bersih daripada korupsi, bersih daripada salah guna kuasa, bersih daripada isu salah urus dana kerajaan dan berani bertindak tanpa pilih kasih.
“Rakyat sedang memerhati dan akan memastikan Pakatan Harapan bertanggungjawab penuh ke atas tindakan-tindakan pro korupsi yang memburukkan imej negara,” katanya kepada Harakahdaily.
Faizzuddin berkata, Pemuda PAS Selangor turut memandang serius perkembangan terkini yang memperlihatkan kekecohan luar biasa, di mana dikatakan mencemarkan imej negara berkaitan Ketua Pesuruhjaya SPRM.
“Rakyat sedang resah dan mula hilang kepercayaan terhadap retorik ‘tatakelola’ dan ‘reformasi’ anti-rasuah yang sering dilaungkan oleh kerajaan. Demi memulihkan kepercayaan rakyat kepada institusi SPRM, kerajaan wajar menggantung tugas KP SPRM.
“Gantikannya dengan pemangku atau calon yang lebih berwibawa sehingga siasatan ke atas beliau ditamatkan dan keadilan diletakkan di tempatnya,” ujar Faizzuddin yang juga Exco Pemuda PAS Malaysia.
Beliau turut mendesak kerajaan menyegerakan proses siasatan, kerana isu ini telah menjadi perhatian utama rakyat dan dunia dalam konteks skandal integriti dan rasuah.
“Semakin lama siasatan bertangguh dan berlarutan, semakin bertambahlah defisit kepercayaan rakyat terhadap kerajaan pada hari ini,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini menjadi perhatian umum selepas pendedahan media mengenai integriti dan pengurusan aset peribadi beliau yang didakwa menimbulkan kontroversi.
SPRM, sebagai badan anti-rasuah utama negara, sepatutnya menjadi simbol ketelusan dan integriti, tetapi isu berkenaan menimbulkan persoalan serius tentang tahap akauntabiliti pegawai tertinggi agensi itu.
Kontroversi ini timbul dalam keadaan rakyat Malaysia menghadapi tekanan kos hidup, termasuk kenaikan harga barangan keperluan dan kos pengangkutan, menjadikan isu integriti dan salah urus dana awam lebih sensitif. – HARAKAHDAILY 8/4/2026











