‘Kawan PM selamat, pembangkang disiasat polis 3 pagi?’

Sindir Rafique merujuk kes Yusoff Rawther

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali, mempersoalkan status siasatan terhadap beberapa individu termasuk Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador.

Beliau berkata demikian merujuk kepada laporan polis yang dibuat oleh bekas pegawai penyelidik Anwar, Muhammed Yusoff Rawther pada 12 September 2024 merujuk kepada dua individu tersebut dan meminta penjelasan mengenainya.
 
Kata Muhammad Rafique, dalam laporan berkenaan, Yusoff Rawther menyatakan terdapat dua individu yang memerangkap beliau dengan memasukkan dadah serta pistol tiruan ke dalam kenderaannya.
 
Rafique berkata, atas semangat tatakelola yang dibawa oleh Anwar, pihaknya ingin mendapatkan penjelasan daripada Ketua Polis Negara berhubung perkembangan siasatan tersebut.
 
“Nombor satu, dah panggil Anwar Ibrahim untuk dirakam percakapan ke belum? Kalau sudah, bila dan kalau boleh maklumkan secara terbuka. Kedua, dah panggil Farhash Wafa Salvador belum untuk dirakam percakapan?
 
“Kalau sudah, bila dan kalau boleh maklumkan kepada kita supaya kita boleh ambil tindakan-tindakan yang selanjutnya. Kalau tidak ada jawapan daripada Tan Sri IGP (Ketua Polis Negara) maka benarlah di Malaysia ini kalau anda Perdana Menteri, anda berkuasa.
 
“(Kalau) anda kawan baik pada Perdana Menteri dan anda merupakan individu-individu yang begitu baik dengan Perdana Menteri, anda tidak akan disoal. Tapi kalau anda membangkang Perdana Menteri, kereta polis akan datang jam 3 pagi,” sindir beliau.
 
Rafique turut merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi pada Jun 2025 yang membebaskan Yusoff daripada dua pertuduhan mengedar dadah jenis ganja serta memiliki dua pistol tiruan.
 
Menurutnya, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamad Jamil Hussein dalam alasan penghakiman menyatakan pihak polis gagal merakam percakapan Anwar dan Farhash.
 
“Ini bukan Rafique kata, ini bukan pembangkang kata, ini bukannya orang lain kata, tapi yang Arif sendiri mendapati bahawa pihak polis telah gagal untuk merakam percakapan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan juga Farhash Wafa Salvador.
 
“Daripada 12 September 2024, laporan polis dibuat dengan jelas menamakan Anwar Ibrahim dan Wafa Salvador sebagai dua individu tersebut.
 
“Dan juga dalam rakaman-rakaman percakapan Yusoff Rawther semasa beliau disiasat oleh pihak polis, beliau telah namakan dua individu ini sehingga sekarang ‘pin drop silence’ daripada IGP,” katanya- HARAKAHDAILY 8/4/2026.

- Advertisement -
- Advertisement -