SPM 2025, GPN atasi purata kebangsaan: MB ucap tahniah

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Dr Sam) merakamkan ucapan tahniah atas pencapaian cemerlang keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 negeri itu yang disifatkan terbaik dalam tempoh 10 tahun.

- Advertisement -

Beliau berkata, Terengganu berjaya mencatatkan Gred Purata Negeri (GPN) 4.17, sekali gus mengatasi Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.42.

Menurutnya, kejayaan itu adalah hasil usaha bersepadu pelbagai pihak termasuk Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT), para guru serta ibu bapa.

“Sekalung tahniah dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan kejayaan pelajar negeri ini.

“Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi untuk terus melahirkan generasi rabbani yang cemerlang dunia dan akhirat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan seramai 591 calon Terengganu memperolehi semua A dalam peperiksaan berkenaan, meningkat berbanding 532 calon pada tahun lalu.

Pengarah  Pendidikan Terengganu, Kamsah @ Kamal Mohamed berkata, jumlah calon yang memperoleh semua A+ turut meningkat kepada 25 orang berbanding 11 orang sebelumnya.

“Seramai 11,633 daripada 17,457 calon atau 67.6 peratus lulus semua mata pelajaran yang diambil,” katanya ketika mengumumkan keputusan SPM peringkat negeri di sini. – HARAKAHDAILY 31/3/2026

- Advertisement -