
DEWAN Pemuda PAS Malaysia memandang serius dua dakwaan besar yang melibatkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang kini menimbulkan persoalan mendalam terhadap integriti dan tatakelola pentadbiran negara.
Pertama, dakwaan oleh Rafizi Ramli yang menyatakan wujud campur tangan Perdana Menteri dalam urusan siasatan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Dakwaan ini, jika benar, merupakan pencabulan serius terhadap prinsip kebebasan institusi penguatkuasaan dan membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa politik dalam proses siasatan.
Kedua, laporan oleh Bloomberg yang mendedahkan bahawa Perdana Menteri didakwa menggesa agar laporan siasatan terhadap pegangan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Azam Baki, tidak didedahkan kepada umum buat masa ini.
Tindakan sedemikian menimbulkan persepsi bahawa ketelusan dikorbankan demi kepentingan politik, khususnya dalam menghadapi kemungkinan pilihan raya.
Lebih membimbangkan, kedua-dua dakwaan ini saling berkait dengan spekulasi yang semakin meluas berhubung kemungkinan jaringan kepentingan melibatkan Azam Baki dan Farhash dalam urus niaga tender kerajaan berskala besar, termasuk transaksi melibatkan Velocity Capital Partners Berhad dan MMAG Holdings Berhad.
Malah berkait konroversi ‘mafia korporat’ yang melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), spekulasi awam turut memalitkan nama Azam Baki dan Farhash sebagai aktor yang terlibat.
Walaupun tiada bukti muktamad setakat ini, kegagalan memberikan penjelasan tuntas hanya menguatkan lagi persepsi negatif rakyat.
Pemuda PAS juga mempersoalkan mengapa sehingga kini tiada sebarang tindakan undang-undang diambil oleh pihak Perdana Menteri terhadap Rafizi Ramli dan Bloomberg meskipun telah beberapa kali membuat dakwaan berat sebegini.
Ketiadaan tindakan sedemikian menimbulkan persoalan sama ada dakwaan tersebut mempunyai asas yang tidak boleh dinafikan atau wujud keengganan untuk membawa perkara ini ke muka pengadilan.
Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia menuntut:
1. Penjelasan terbuka dan segera daripada Perdana Menteri berhubung kedua-dua dakwaan ini.
2. Pendedahan penuh laporan siasatan berkaitan Azam Baki kepada umum tanpa sebarang penangguhan.
3. Penubuhan badan siasatan bebas atau Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat keseluruhan isu ini secara telus.
4. Jaminan bahawa tiada campur tangan politik dalam mana-mana siasatan melibatkan institusi penguatkuasaan negara.
Rakyat berhak mengetahui kebenaran. Negara ini mesti ditadbir berasaskan doktrin pengasingan kuasa yang kukuh, sementara politik kepartian dan kepentingan individu tidak boleh sewenang-wenangnya mencampuri pentadbiran institusi kerajaan.
Kerajaan juga tidak boleh membiarkan persepsi liar terus berlegar tanpa penjelasan, sebaliknya wajib memastikan persekitaran maklumat awam dibina atas prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang.
YB USTAZ MOHD HAFEZ SABRI
Timbalan Ketua Dewan Pemuda Malaysia – HARAKAHDAILY 31/3/2026




















